Artikel

Sri Pahang ‘Diam-diam’ Merisik Penyerang Skuad Kebangsaan Thailand, Adisak Kraisorn

Pasukan yang menduduki tangga ke-11 Liga Super, Sri Pahang FC secara ‘diam-diam’ telah merisik penyerang skuad kebangsaan Thailand, Adisak Kraisorn untuk memperbaiki ketumpulan jentera serangannya.

Bahkan pasukan yang terkenal dengan julukan skuad Tok Gajah itu dimaklumkan telah mencapai persetujuan bersama kelab Adisak yang beraksi dalam saingan Liga Thai, Muangthong United.

Bagaimanapun, menurut perkongsian daripada sumber terdekat dengan pengurusan Sri Pahang, kedatangan penyerang berusia 30 tahun itu perlu mendapat ‘lampu hijau’ daripada kelab yang sedang meminjamnya, Port FC.

Adisak masih mempunyai kontrak sehingga 31 Mei 2021 namun Sri Pahang berhajat untuk mendaftarkannya secepat yang mungkin sebaik sahaja jendela perpindahan kedua Liga Malaysia dibuka iaitu pada 3 Mei kelak.

Foto: Port FC

“Sri Pahang dikhabarkan telah pun merisik dan mencapai persetujuan dengan Muangthong United. Namun ini tertakluk pada persetujuan kelab yang meminjamnya, Port FC untuk melepaskan Adisak lebih awal atau tidak. 

“Difahamkan Sri Pahang mahu menyegerakan urusan pendaftaran pemain import sebaik jendela perpindahan kedua dibuka bagi menyelamatkan musim mereka.” kata sumber terbabit kepada Sukanz.

Kehadiran Adisak memberikan impak dalam membantu Port FC meraih kedudukan ketiga dalam saingan Liga Thai musim 2020/21. Sepanjang bersama Port FC dia telah meraih 29 penampilan dan menjaringkan 11 gol.

Adisak yang memiliki ketinggian 1.82 meter memulakan karier seniornya bersama Muangthong United pada tahun 2009. Selain itu, dia juga pernah beraksi bersama beberapa kelab Phuket FC, Buriram United, BEC Tero Sasana dan terakhir Port FC sebagai pemain pinjaman.

Sri Pahang begitu bergelut untuk mengharungi saingan Liga Super musim ini. Barisan penyerang import yang ditandatangani seperti Yevhen Bokhashvili dan Pedro Henrique pada awal musim lalu tidak memberikan impak kepada pasukan.

Selepas 10 perlawanan, Sri Pahang hanya mengumpul 5 mata hasil daripada satu kemenangan, dua seri dan tujuh kekalahan. Hanya UiTM FC berada di kedudukan lebih corot daripada Sri Pahang dengan kutipan satu mata daripada 10 perlawanan.

Featured Image: Changsuek

komen