Written by 11:54 am Bola Sepak, Malaysia

Ini Senarai Pemain Import Yang Digosipkan Menyertai Sri Pahang

Pasukan Sri Pahang menjadi bualan hangat para peminat bola sepak tempatan menjelang pembukaan jendela perpindahan kedua Liga Malaysia 2021 bermula 3 Mei kelak.

Beberapa pemain asing telah memaklumkan sendiri sedang berada di ibu negara bagi menjalani arahan kuarantin sementara menunggu untuk menyertai pasukan di Kuantan kelak. Tidak kurang timbul gosip penghijrahan pemain asing ke Sri Pahang ini dikongsikan sendiri oleh pengamal media luar negara menerusi media sosial masing-masing.

Berdasarkan prestasi semasa Sri Pahang, ramai tidak menolak kemungkinan pasukan itu merombak barisan pemain importnya. Hal ini kerana kesemuanya tidak memberikan impak yang memberangsangkan sekaligus menyebabkan Sri Pahang berada di kedudukan kedua terakhir dalam carta Liga Super selepas 10 perlawanan.

Untuk rekod, bagi mengharungi saingan Liga Super musim ini, Sri Pahang mengikat enam pemain import. Mereka terdiri daripada Herold Goulon, Lee Tuck, Mamadou Wague, Pedro Henrique, Yevhen Bokhashvili dan Sergio Aguero.

Berikut adalah empat pemain yang digosipkan untuk menyertai Sri Pahang pada jendela perpindahan kedua kelak:

#1 Aung Kaung Mann (Myanmar)

Foto: Instagram Aung Kaung Mann

Baru-baru ini pemain berusia 23 tahun ini telah memaklumkan menerusi Instagram Story sedang berada di salah sebuah hotel di Kuala Lumpur untuk menjalani tempoh kuarantin. Pada masa yang sama, di ruangan komennya, dia sendiri telah mengesahkan bakal menyertai pasukan Sri Pahang kelak.

Sebelum ini, pemain kelahiran Myanmar ini beraksi bersama pasukan Liga Thai 2, Khon Kaen United. Aung telah membantu pasukannya menamatkan kempen musim lalu di tangga keempat sekaligus membolehkan pasukannya beraksi dalam play-off ke saingan Liga Thai 1. 

Selain bermain sebagai penyerang, Aung yang menjadi watak penting dalam membawa Myanmar U-22 memenangi pingat gangsa dalam temasya Sukan SEA 2019 lalu turut berkebolehan bermain sebagai pemain tengah menyerang (attacking midfielder).

#2 Manuel Hidalgo (Argentina)

Foto: Instagram Manuel Hidalgo

Pemain kedua yang telah berada di salah sebuah hotel di Kuala Lumpur pada ketika ini ialah Manuel Hidalgo. Keberadaan pemain muda berusia 21 tahun ini di ibu negara turut dikongsikan sendiri menerusi akaun Instagram miliknya.

Untuk makluman, pemain tengah kelahiran Argentina ini pernah beraksi bersama skuad bawah umur Benfica. Pasukan terakhir yang diwakilinya berpangkalan di England iaitu Sheffield Wednesday U23. Antara aset yang dimilikinya adalah kelincahan dan berkemampuan melakukan ‘killer pass’.

#3 Kenny Athiu (Sudan Selatan)

Foto: Melbourne Victory

Pernah beraksi dalam saingan A-League bersama Melbourne Victory antara tahun 2017 hingga 2020. Penyerang yang memiliki ketinggian 2.01 meter ini dimaklumkan oleh pengulas liga Australia, Josh Parish telah tiba di Malaysia untuk menyertai Sri Pahang.

Mendapat gelaran King Kenny dalam kalangan peminat bola sepak Australia, penyerang yang bakal menginjak usia Striker CF 28 tahun bakal 29 tahun ini turut berkemampuan beraksi di posisi penyerang kiri dan kanan. Pasukan terakhirnya adalah Heidelberg United yang beraksi dalam saingan NPL Victoria.

#4 Adisak Kraisorn (Thailand)

Foto: Changsuek

Nama yang terakhir dikaitkan dengan pasukan Sri Pahang buat masa ini adalah penyerang skuad kebangsaan Thailand, Adisak Kraisorn. Berusia 30 tahun, musim lalu Adisak beraksi bersama Port FC secara pinjaman daripada Muanthong United.

Kehadiran Adisak bersama Port FC pada musim lalu telah membantuk kelab tersebut menduduki tangga ke-3 Liga Thai 1 serta meraih slot ke saingan Liga Juara-Juara AFC 2021. Difahamkan Sri Pahang telah berunding bersama Muangthong namun ia belum mendapat ‘lampu hijau’ daripada Port FC. Perkara ini dikongsikan oleh sumber yang dekat dengan pengurusan Sri Pahang, baru-baru ini.

(Visited 1,657 times, 1 visits today)
Close