Artikel

Ulasan Sukanz: Kemasukan Fayadh & Alex Merancakkan Permainan Kedah

Selepas menumpaskan Kuala Lumpur City (KL City) di halaman sendiri pada minggu lalu, Kedah Darul Aman yang dibimbing oleh Aidil Sharin Sahak berkunjung ke Stadium Hang Jebat untuk menentang Melaka United pada aksi ke-11 Liga Super 2021.

Dalam perlawanan tersebut, aksi yang ditampilkan oleh kedua-dua pasukan dilihat seimbang namun pasukan pelawat yang tersenyum puas apabila berjaya mencatatkan kemenangan 3-1 sekaligus meneruskan rentetan dua kemenangan berturut-turut.

Dua jaringan oleh pasukan Kedah disumbangkan oleh penyerangnya, Kpah Sherman pada minit ke-18 dan ke-62 serta satu daripada kapten, Baddrol Bakhtiar pada minit ke-86. Sementara itu, gol tunggal oleh Melaka United dijaringkan oleh Stefan Nikolic pada minit ke-38.

Berikut adalah ulasan perlawanan antara Melaka United dan Kedah:

#1 Kedah Tidak Begitu ‘Bermaya’ Pada Babak Pertama

Foto: Kedah Darul Aman FC

Kita bermula dengan pasukan Kedah terlebih dahulu. Babak pertama menyaksikan Kedah tidak begitu menguasai permainan. Hanya seketika di awal permainan mereka menguasai seketika dan selebihnya Melaka United yang agak dominan. 

Gandingan dua penyerang utama, Kpah Sherman dan Tchetche Kipre juga tidak begitu menjadi. Rozaimi Abdul Rahman yang beraksi di sayap/penyerang kiri juga tidak memberikan impak yang tinggi.

Jaringan yang terhasil oleh kedua-dua pasukan pada babak pertama pula datangnya daripada sepakan penalti.

#2 Fayadh dan Alex Masuk Merancakkan Permainan Kedah 

Foto: Kedah Darul Aman FC

Permainan Kedah mula menunjukkan kelainan apabila pemain muda lincah, Mohammad Fayadh masuk pada separuh masa kedua menggantikan Rozaimi. Kemasukannya menjadikan corak permainan Kedah semakin laju dan dapat melakukan serangan dengan lebih kerap.

Keadaan bertambah positif apabila Aidil mengarahkan Azammuddin Akil atau lebih mesra dikenali sebagai Alex masuk pada minit ke-60 menggantikan Rabih Ataya. Sekelip mata, corak permainan Kedah menjadi berbeza dan kedua-dua sayap kiri dan kanan hidup.

Dapat dilihat, Kedah banyak melakukan hantaran dan crosses ke dalam kotak penalti dilakukan sekaligus menjadikan lebih banyak peluang dicipta. Separuh masa pertama, Kedah tidak dapat bermain begitu kerana Rabih lebih gemar menyimpan bola serta lambat melepaskan bola.

#3 Tchetche Kipre Meneruskan Momentum Kecemerlangannya

Foto: Kedah Darul Aman FC

Selain daripada Fayadh dan Alex yang tampil beraksi cemerlang, Tchetche Kipre antara yang tidak terkecuali mencuri perhatian dalam perlawanan semalam. Dia menunjukkan prestasi yang sama seperti menentang KL City minggu lalu walau turun sebagai penyerang kedua. 

Menariknya, persembahan Kipre semakin berbisa apabila Fayadh dan Alex dimasukkan oleh Aidil. Ini kerana, dengan adanya dua pemain ini, Kipre tidak perlu turun dengan lebih ke bawah untuk mendapatkan bola dan dapat memainkan peranan No.10 dengan lebih berkesan berdekatan atau dalam kotak penalti.

Selain itu, tidak dilupakan gandingan Loqman dan Renan di barisan pertahanan semakin menunjukkan keserasian sehinggakan penyerang import Melaka United, Stefan Nikolic sukar untuk menembusi mereka terutamanya pada babak kedua.

#4 Hanya S. Kumaahran & Manuel Ott Tampil Aksi Memberangsangkan

Secara keseluruhannya, Melaka bemain dengan baik. Itulah yang ditampilkan oleh mereka semasa babak pertama. Bagaimanapun, memasuki babak kedua, persembahan mereka semakin menurun. 

Foro: Melaka United FC

Berdasarkan apa yang kami lihat, faktor kecedergasan menjadi puncanya dengan keadaan para pemain mereka dilihat penat dan letih. Perkara tersebut juga menjadi punca mereka acap tewas dalam situasi satu lawan satu dengan pemain Kedah.

Hanya dua orang sahaja pemain Melaka yang menampilkan aksi memberangsangkan. Pertamanya, pemain sayap, S. Kumaahran yang menghidupkan sayap kanan mereka. Keduanya, pemain tengah import, Manuel Ott yang mengawal bahagian tengah.

#5 Masalah Komunikasi Menjadi Punca Melaka Bolos

Melaka dan Kedah terikat 1-1 sehingga ke minit ke-60. Kemudiannya, barulah Kpah Sherman menjaringkan gol kedua pada minit ke-62 sebelum Baddrol menjaringkan gol ketiga pada minit ke-86.

Apa yang menyebabkan mereka tidak dapat mengikat Kedah sehingga tamat perlawanan? Ianya disebabkan oleh masalah komunikasi di bahagian pertahanan mereka. Selain itu, Melaka juga lambat melakukan marking ke atas pemain-pemain Kedah. 

Foto: Kedah Darul Aman FC

Kpah yang merupakan seorang poacher berbahaya dibiarkan bebas di dalam kotak penalti. Akhir sekali, Melaka turut membiarkan Tchetche Kipre yang merupakan seorang penyerang lincah dan mampu melakukan gelecekan memasuki kotak penalti.

Ramuan yang cukup lengkap untuk Kedah mengambil kesempatan sekaligus memastikan mereka dapat mencuri 3 mata dari Stadium Hang Jebat.

p/s: Ulasan ini dikongsikan oleh peminat tegar bola sepak tempatan, Wafiy Amran. Sekiranya anda sukakan ulasan ini, dijemput untuk menonton ulasan perlawanan Liga Super yang lain di saluran Youtube, WAFIY AMRAN.

Featured Image: Kedah Darul Aman FC

komen