Artikel

“JDT Ni Main Samseng Sikit, Macam Kasta Kayangan” – Sanusi

Menteri Besar Kedah merangkap Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), YAB Muhammad Sanusi Md Noor menyifatkan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) sebagai samseng di atas padang.

Sanusi melontarkan reaksi sedemikian selepas hadir menyaksikan perlawanan antara Kedah Darul Aman selaku tuan rumah melayan kunjungan JDT di Stadium Darul Aman pada aksi ke-12 Liga Super, semalam.

Bagaimanapun, perlawanan yang berlangsung dengan agak sengit itu dimenangi oleh JDT dengan keputusan 1-0 hasil daripada jaringan sepakan penalti oleh Bergson da Silva pada penghujung perlawanan.

“Saya dapat satu kesimpulan, JDT ni main samseng sikit, dia macam kasta kayangan,”

“Bola ni sama rata dan saksama, tak bolehlah dia buat pasukan lain (macam) belasahan walaupun dia pandai main,”

“Kita pun tak lah bodoh sangat dekat-dekat nak boleh score dah,” katanya dalam sidang media yang disiarkan Warta Kedah selepas daripada mesyuarat exco, hari ini.

“Tapi gaya dan karakter pemain dia tu kita nampak… pasal malam (tadi) ada nampak insiden nak gaduh sikit, dia terpa tempat kita,”

“Hey, dia main stadium kita tu, dia main kampung kita, dia tak respect langsung dekat kita, dia terpa dekat coach kita, (dekat) player kita buat cengey-cengey,” ulasnya mengenai insiden pertikaman lidah yang hampir menyebabkan pergaduhan para pemain dan pegawai pasukan pada rehat separuh masa pertama.

“Jangan kerek sangat main tempat orang, agak-agaklah,” tambahnya lagi di hadapan para wartawan yang hadir.

Sementara itu, Sanusi turut melahirkan kekecewaan apabila tewas dengan dengan jaringan tipis hasil daripada sepakan penalti yang dihadiahkan oleh pengadil pada minit ke-89.

Sepakan penalti itu diberikan oleh pengadil selepas pertahanan Kedah, Renan Alves melakukan terjahan ke atas pemain sayap JDT, Mohamadou Sumareh.

“Pasukan kita memberikan tentangan yang sengit hampir-hampir menjaringkan dua gol, satu kena tiang (dan) satu kena palang,”

“Kita bukan lekeh sangat,” ulasnya mengenai persembahan yang ditampilkan oleh anak-anak buah Aidil Sharin Sahak.

Featured Image: Kedah Darul Aman FC

komen