Written by 12:20 pm Bola Sepak, Malaysia

Ulasan Sukanz: Mengapa Biarkan Sumareh Terlepas Ke Dalam Kotak Penalti?

Saingan ke-12 Liga Super menyaksikan juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) bertemu dengan pasukan yang berada di tangga kedua, Kedah Darul Aman di Stadium Darul Aman, semalam.

Aksi yang rancak disajikan dengan kedua-dua pasukan saling mencuba untuk menguasai permainan dan menerobos gawang gol lawan masing-masing. Ia turut diserikan dengan sedikit ‘drama’ di dalam dan luar padang melibatkan para pemain dan juga pegawai-pegawai pasukan.

Bagaimanapun, pasukan pelawat pulang dengan penuh kegembiraan apabila mereka berjaya merekodkan kemenangan 1-0 hasil jaringan sepakan penalti oleh penyerang kelahiran Brazil, Bergson da Silva pada masa kecederaan.

Berikut adalah ulasan perlawanan antara Kedah dan JDT: 

#1 Kedua-dua Pasukan Bermain Dengan ‘High Pressing’

Melihatkan kepada corak permainan Kedah dan JDT, kedua-duanya dilihat bermain secara ‘high pressing’.

Pasukan tuan rumah akan mengarahkan 2-3 pemainnya untuk menekan setiap pemain JDT yang memegang bola agar dapat mencuri bola daripada mereka. Akan tetapi, apabila berjaya mendapatkan bola, Kedah tidak dapat menyimpan bola dengan lebih lama atau mengekalkan penguasaannya. Tidak mampu untuk bermain secara hantaran pendek, tidak mampu untuk membina serangan.

Berbanding dengan JDT yang turut melakukan ‘high pressing’ kepada pemain lawan, apabila mereka mendapat bola, mereka akan memastikan dapat mengekalkan penguasaan tersebut dan mula mengatur untuk membina serangan. Pujian harus diberikan kepada pemain-pemain JDT yang kekal tenang, tidak gopoh dan mampu melakukan hantaran walaupun ditekan oleh 2-3 pemain Kedah setiap kali memegang bola. 

Ini juga menunjukkan kualiti individu yang ada pada setiap pemain JDT. Hal ini turut menjelaskan mengapa JDT mempunyai penguasaan yang lebih baik berbanding Kedah.

#2 JDT Kuasai Permainan Tetapi Kekurangan Kreativiti

Mengikut statistik, JDT memiliki 54% penguasaan bola sepanjang perlawanan. Terima kasih kepada gandingan tengahnya, Natxo Insa dan Leandro Velazquez yang memainkan peranan tersebut. 

Bagaimanapun, kekurangan JDT di dalam perlawanan tersebut adalah kreativiti. Memandangkan barisan pertahanan Kedah agak kompak, ditambah pula dengan gandingan dua pemain tengah defensif, Anumanthan dan Amirul Hisyam yang melindungi barisan pertahanan dengan agak baik. 

Gandingan Natxo dan Leandro dilihat kurang kreatif untuk menghantar bola ‘sedap’ mencari penyerang mereka, Bergson da Silva.

#3 Bergson Terpaksa Lakukan ‘Shot’ Dari Luar Kotak Penalti

Seperti dibincangkan tadi, Kedah bermain dengan barisan pertahanan yang kompak sambil dibantu oleh dua pemain tengah defensif menyebabkan JDT sukar untuk memburu gol.

Bergson pula yang berada di posisi penyerang kurang mendapat suapan bola daripada pemain tengah mahu pemain sisi dan full-back. Justeru, setiap kali dia mendapat bola, dia juga tahu sukar untuk menggelecek bagi menewaskan barisan pertahanan. Namun dia tetap mencari peluang dengan melakukan rembatan dari luar kotak penalti sekiranya mendapat bola.

Walaupun JDT merekodkan sekitar 14 percubaan, sayangnya hanya 5 sahaja yang tepat ke sasaran. 

#4 Cabrera Tampilkan Peningkatan Prestasi & Kemasukan Sumareh Meningkatkan Rentak

Setelah beberapa perlawanan sebelum ini dilihat tidak berada di prestasi terbaiknya, Gonzalo Cabrera kembali menampilkan persembahan terbaiknya ketika menentang Kedah, semalam.

Bermain di sayap kiri atau penyerang sisi kiri, kehadiran Cabrera telah memberikan kesukaran kepada bek kanan Kedah, Rizal Ghazali. Beberapa kali juga Cabrera berjaya ‘makan’ Rizal serta Renan Alves ketika melakukan serangan. Malahan sepanjang beraksi selama 60 minit, bahagian kiri JDT bermain dengan agak laju tetapi ianya semakin perlahan apabila Cabrera terpaksa dikeluarkan kerena ditimpa kecederaan yang serius.

Selang 20 minit kemudian, Benjamin Mora mengarahkan Mohamadou Sumareh untuk masuk. Kemasukan pemain kelahiran Gambia itu meningkatkan kembali rentak JDT. Bukan itu sahaja, gerakan Sumareh sekitar minit ke-90 memberikan JDT sepakan penalti.

#5 Mengapa Dibiarkan Sumareh Masuk Ke Dalam Kotak Penalti?

Kedah pastinya kecewa apabila permainan yang boleh ditamatkan dengan keputusan seri tanpa jaringan serta dapat membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata lebur sama sekali.

Pada minit ke-89, Rizal naik sedikit ke atas untuk memberi tekanan kepada Arif Aiman tidak menyedari kelibat Sumareh berada di belakangnya. Menyedari situasi itu, Arif dengan segera menolak bola kepada Sumareh.

Dengan pantas Sumareh berlari masuk ke dalam kotak penalti untuk melakukan rembatan. Menyedari situasi bahaya tersebut, Renan segera datang dan melakukan terjahan untuk membuang bola, malangnya, Sumareh turut dikasari sehinggakan pengadil terpaksa memberikan sepakan penalti kepada JDT.

Ini merupakan kesilapan terbesar yang dilakukan oleh Kedah kerana memberikan ruang dan peluang buat Sumareh untuk mendapatkan sesuatu di dalam kotak penalti. Kedah sepatutnya sudah ‘belajar’ daripada Terengganu dan KL City yang berjaya menumpaskan dan mengikat JDT. 

Kedua-dua pasukan tersebut berjaya mengekang JDT daripada mendapatkan penalti pada penghujung permainan dengan tidak membenarkan mana-mana pemain JDT mendekati atau memasuki kotak penalti.

#6 Benteng Pertahanan Kedah Cemerlang Namun Terpaksa Menanggung Duka di Penghujungnya

Sepanjang 90 minit permainan, boleh dikatakan barisan pertahanan Kedah yang terdiri daripada Rizal, Renan, Rodney dan Ariff Farhan beraksi dengan penuh disiplin dan bagus. Paling mencuri tumpuan adalah gandingan Renan dan Rodney yang semakin menunjukkan keserasian. 

Inilah yang menjadikan benteng mereka utuh sepanjang hampir 90 minit dengan mengeluarkan banyak bola bahaya dan sebagainya. Cumanya, Renan terpaksa menanggung kekecewaan besar apabila terjahannya menyebabkan satu pasukan menanggung duka kekalahan. 

Selain daripada barisan pertahanan, gandingan Anumanthan dan Amirul Hisyam perlu diberikan pujian juga. Paling menyerlah ialah Anu yang banyak melindungi barisan pertahanan serta menampilkan ‘work rate’ yang tinggi.

#7 Kedah Juga Kekurangan Kreativiti Untuk Mencari Penyerangnya

Selain daripada JDT yang kurang kreatif untuk melakukan hantaran mencari penyerangnya, Kedah juga menghadapi isu yang sama.

Sebelum ini, isunya seringkali berkisar mengenai Rabih yang gemar melakukan ‘dribble’ dan lambat ‘release the ball’ kepada pemain serangan menyebabkan penguasaan bola mereka sia-sia. Namun Rabih bermain dengan baik semalam. Dia cepat melakukan hantaran kepada rakan sepasukan.

Namun Kedah masih tidak dapat melakukan hantaran kepada penyerang. Ini kerana mereka banyak bermain di kawasan mereka sendiri (disebabkan terlalu bertahan) dan apabila melakukan hantaran jauh, ianya muda dipatahkan oleh Mauricio dan Aidil.

Rumusannya, kedua-dua pasukan, Kedah dan JDT bermain dengan ‘high pressing’ namun pasukan pelawat dilihat lebih menguasai permainan disebabkan oleh kemampuan individu setiap pemain JDT yang lebih baik. Kedua-dua pasukan juga mempunyai masalah kreativiti dan sukar untuk mencari penyerang masing-masing.

Bagaimanapun, JDT berjaya mengambil peluang daripada kealpaan benteng pertahanan Kedah di penghujung perlawanan untuk mendapatkan penalti sekaligus merekodkan kemenangan untuk terus kekal memimpin carta Liga Super 2021 selepas 12 pelawanan.

p/s: Ulasan ini dikongsikan oleh peminat tegar bola sepak tempatan, Wafiy Amran. Sekiranya anda sukakan ulasan ini, dijemput untuk menonton ulasan perlawanan Liga Super yang lain di saluran Youtube, WAFIY AMRAN.

Featured Image: JOHOR Southern Tigers

(Visited 102 times, 1 visits today)
Close