Artikel

Sukanz XI: Amri, Hidalgo & Josue Antara 11 Pemain Terbaik ‘Matchday’ Ke-12 Liga Super

‘Matchday’ ke-12 Liga Super yang berlangsung pada pertengahan minggu ini telah melabuhkan tirainya, semalam. Seperti perlawanan-perlawanan yang lain, beberapa pemain dilihat mencuri perhatian kami ketika beraksi bersama pasukan masing-masing.

Tanpa melengahkan masa lagi, berikut adalah 11 pemain terbaik pilihan Sukanz dan mengapa kami memilihnya:

Penjaga Gol: Hafizul Hakim (Perak)

Penjaga gol Perak dan skuad kebangsaan, Hafizul Hakim menjadi pilihan kami untuk mengisi senarai 11 pemain terbaik di posisi penjaga gol kali ini. Ketangkasannya di hadapan gawang dan aksi penyelamatan dilakukannya berjaya memberikan Perak kemenangan tanpa bolos sewaktu menentang PJ City di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Pertahanan Kiri: Azarul Nazarith (Terengganu)

Pertahanan berusia 22 tahun ini dipilih oleh ketua jurulatih, Nafuzi Zain untuk mengisi kekosongan bek kiri yang ditinggalkan oleh Arif Fadzilah yang menjalani penggantungan. Dalam perlawanan menentang UiTM, Azarul menampilkan aksi yang baik semasa bertahan dan juga menyerang. Dia turut terlibat merencanakan gol kedua Terengganu dengan melakukan hantaran kepada Hakimi Abdullah sebelum disudahkan oleh Faisal Halim menerusi tandukan.

Pertahanan: Park Tae-su (Sabah)

Akhir-akhir ini, Sabah menampilkan persembahan yang agak cemerlang dan konsisten termasuk ketika menentang Melaka United di Stadium Likas. Pertahanan import dari Korea, Park Tae-su yang menjadi pemimpin mereka di barisan pertahanan telah memberikan satu ‘assist’ kepada Amri Yahyah untuk gol ketiga Sabah.

Pertahanan: Herold Goulon (Sri Pahang)

Sri Pahang mencatatkan keputusan seri 2-2 ketika menentang Selangor semalam. Namun begitu, benteng pertahanan yang diketuai oleh Herold Goulon berjaya mengekang asakan Selangor sekitar 70 minit permainan sebelum bolos hasil jaringan Hein Htet Aung dan Ifedayo Olusegun masing-masing pada minit ke-76 dan ke-87.

Pertahanan Kanan: Matt Davies (Johor Darul Ta’zim)

Aksi antara tuan rumah, Kedah Darul Aman dan pasukan pelawat, Johor Darul Ta’zim (JDT) berlangsung dengan sengit pada selasa lalu. Pertahanan kanan, Matt Davies menjadi salah satu individu yang mempamerkan ‘work rate’ yang tinggi dengan membantu JDT bukan sahaja ketika bertahan malah naik ke atas untuk menyerang.

Pemain Tengah: Manuel Hidalgo (Sri Pahang)

Pemain yang paling mencuri tumpuan pada aksi ke-12 Liga Super. Baru sahaja tiba di Kuantan sebagai pemain import baharu, Hidalgo tidak mempunyai masalah untuk terus memberikan impak kepada Sri Pahang yang bergelut di zon penyingkiran. Pemain berkaki kidal ini menjadi nadi serangan Sri Pahang serta menghasilkan satu ‘assist’ dan satu gol ketika menentang Selangor.

Pemain Tengah: Paulo Josue (Kuala Lumpur City)

Sebelum sepak mula perlawanan, skuad ibu kota dimomokkan akan menerima nasib yang malang apabila melayan kunjungan pasukan ‘dark horse’ Penang. Bagaimanapun, sebaliknya berlaku apabila pemain tengah, Paulo Josue mengamuk di dalam perlawanan tersebut dengan menjaringkan hatrik sekaligus membantu pasukannya meraih kemenangan 3-1.

Pemain Tengah: Sergio Aguero (Perak)

Sergio Aguero sekian lama telah menjadi nadi serangan buat Perak musim ini. Jaringan tunggal daripada pemain tengah ini sudah memadai buat pasukannya memungut 3 mata ketika bertemu PJ City. Dia melepaskan rembatan lencong cantik dari dalam kotak penalti untuk menewaskan Kalamullah.

Penyerang: Faisal Halim (Terengganu)

Bertemu UiTM pada selasa lalu, penyerang lincah, Faisal Halim membantu Terengganu mencatatkan kemenangan 3-0 di mana di sendiri telah menghasilkan satu ‘assist’ dan satu gol dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.

Penyerang: Abdul Malik Mat Ariff (Sri Pahang)

Ketika menentang Selangor, Malik Mat Ariff diletakkan oleh Dollah Salleh untuk bermain sebagai penyerang tengah. Namun dengan kehadiran pemain import baharu, Manuel Hidelgo menjadikan Malik tampil cemerlang di atas padang dengan menyumbangkan satu ‘assist’ dan satu gol.

Penyerang: Amri Yahyah (Sabah)

Penyerang veteran berusia 40 tahun ini juga mencuri tumpuan pada ‘matchday’ ke-12 Liga Super. Manakan tidaknya, ketika Sabah merekodkan kemenangan 3-1 ke atas Melaka United, Amri menjadi pemain yang terlibat dalam ketiga-tiga gol tersebut. Dua gol dan satu ‘assist’ berjaya diciptanya dalam perlawanan tersebut.

Berikut adalah formasi 4-3-3 kesebelasan terbaik minggu kedua belas Liga Super pilihan Sukanz:

Featured Image: Sri Pahang FC

komen