Written by 10:45 pm Bola Sepak, Malaysia

CEO Perak Sahkan Selangor Berminat Dapatkan Khidmat Shahrul Saad

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perak, Rizal Ali Naizali mengesahkan Selangor telah menghubungi pihaknya menyatakan minat untuk mendapatkan khidmat pertahanan, Shahrul Saad.

Pada masa yang sama, Shahrul atau dikenali sebagai Badak dalam kalangan rakan sepasukan juga dikhabarkan telah meminta pelepasan daripada pasukan Perak. 

Ianya dikongsikan sendiri oleh Rizal dalam sebuah laporan media tempatan, pada hari ini.

“Saya kira Selangor bertindak secara profesional dengan menghubungi Perak FC. Saya ingin tahu apa sebenarnya yang dalam perancangan mereka,” kata Rizal seperti dipetik daripada Harian Metro.

Sebelum ini, Shahrul yang merupakan tonggak pertahanan skuad kebangsaan, Harimau Malaya kuat dikaitkan dengan perpindahan ke pasukan berpangkalan di pantai timur, Sri Pahang.

Namun begitu, Rizal memaklumkan hanya Red Giants satu-satunya pasukan yang menyatakan minat terhadap Shahrul, walaupun dibuat secara tidak rasmi.

Sementara itu, dalam laporan yang sama, penyerang naturalisasi, Guilherme de Paula turut dimaklumkan meminta pelepasan daripada pasukan Perak.

Bagaimanapun pasukan manakah yang sedang merisik penyerang kelahiran Brazil tersebut tidak didedahkan dan kekal menjadi satu misteri.

Susulan dengan pelepasan yang diminta oleh kedua-dua pemain ini, Rizal berkata pihaknya akan berbincang dengan kedua-dua ejen pemain tersebut dalam tempoh terdekat.

Untuk makluman, jendela perpindahan kedua Liga Malaysia telah dibuka dan akan ditutup pada penghujung bulan ini.

Featured Image: FAM

(Visited 89 times, 1 visits today)
Close