Artikel

CEO Sri Pahang: Kiko Ejen Hidalgo? Umpama Lembu Punya Susu, Sapi Dapat Nama

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sri Pahang, Datuk Mohammed Suffian Awang mengatakan Kiko Insa umpama lembu punya punya susu, sapi dapat nama apabila dikaitkan sebagai ejen kepada pemain import, Manuel Hidalgo.

Manuel atau lebih mesra dengan panggilan Manu menjadi topik perbincangan hangat peminat bola sepak setelah menampilkan aksi debut yang cemerlang ketika menentang Selangor di Stadium Darul Makmur, rabu lalu.

Pada perlawanan tersebut, dia bermain selama 90 minit dan mencetak satu ‘assist’ dan satu gol untuk membantu Sri Pahang mengikat Selangor 2-2.

Dikongsikan secara eksklusif kepada Sukanz, Suffian berkata ejen sebenar kepada pemain berusia 22 tahun itu adalah seorang berwarganegara Argentina dan mempunyai hubungan akrab dengan pemilik Sri Pahang, Yang Amat Mulia (YAM) Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman sejak sekian lama.

Ia sekaligus menafikan dakwaan yang tular di laman sosial bahawa Kiko yang turut berperanan sebagai Penolong Pencari Bakat & Pembangunan Pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) adalah ejen kepada Manu. 

“Kehadiran Manuel Hidalgo ini tiada kaitan langsung dengan Kiko Insa, pemain berbakat ini diketahui oleh presiden iaitu YAM Tengku Muda, Tengku Abdul Rahman yang mempunyai hubungan baik dengan ejen sebenar iaitu Lucas Cominelli daripada agensi 7ORO SPORTS,

“Dia yang mengenalkan (Manu) kepada YAM Tengku Abdul Rahman sebelum saya memulakan perbincangan dengan pihak Lucas, dan akhirnya berjaya membawa dia masuk ke sini (Sri Pahang),

Kiko Insa pernah beraksi bersama Pahang suatu ketika dahulu

“Isu Kiko ini tiada kena mengena langsung dengan perpindahan Manu ke sini samada sebagai ejen atau recommend pemain ini, sebabnya Manu sendiri tidak kenal langsung Kiko ini siapa, janganlah menjadi umpama lembu punya susu sapi dapat nama,” katanya ketika dihubungi pada hari ini.

Turut dimaklumkan, Sri Pahang telah mengikat kontrak pemain kelahiran Argentina ini sehingga ke penghujung musim ini. Bagaimanapun, pihak Sri Pahang sedia untuk menawarkan kontrak jangka masa panjang sekiranya menampilkan prestasi yang memberangsangkan dan konsisten.

Untuk makluman, Lucas pernah menyarung jersi Pahang selaku pemain import suatu masa dahulu. Dia merupakan sebahagian daripada skuad Pahang yang meraih kejuaraan Liga Super pada edisi 2004 lalu.

Matias Conti antara pemain yang pernah dibawa oleh Lucas.

Selepas berhenti berkecimpung sebagai pemain bola sepak dan menggantung butnya, Lucas terlibat dalam arena bola bola sebagai ejen pemain. Sebelum ini, Lucas jugalah merupakan individu yang bertanggungjawab membawa dua pemain import, Matias Conti dan Yamil Romero ke Pahang.

Featured Image: MFL & Sri Pahang

komen