Written by 2:31 pm Bola Sepak, Malaysia

Shahrul Saad Tinggalkan Perak, Sertai Pasukan AFC Champions League

Pertahanan skuad kebangsaan, Shahrul Saad mengesahkan meninggalkan Perak dan menyertai pasukan yang beraksi di pentas Liga Juara-Juara AFC (AFC Champions League), Johor Darul Ta’zim (JDT).

Penghijrahan pemain yang bakal menjengah usia 28 tahun pada julai kelak itu diumumkan secara rasminya dalam satu majlis menandatangani pemain di Ibu Pejabat JDT menerusi kesemua laman sosial kelab terbabit, pada hari ini.

Dimaklumkan Shahrul atau mesra dengan panggilan Badak dalam kalangan rakan sepasukan diberikan jersi bernombor 32 bersama JDT. Namun tiada sebarang makluman lanjut daripada JDT tentang berapa lama kontrak yang diberikan kepada pemain ini.

Penghijrahan Shahrul ke JDT ini juga bermaksud Shahrul telah menolak dua tawaran lain masing-masing daripada Sri Pahang dan Selangor seperti yang digembar-gemburkan sebelum ini.

Shahrul merupakan tonggak pertahanan utama Perak sejak 3-4 tahun kebelakangan ini. Musim terbaiknya bersama Perak hadir ketika bermain di bawah bimbingan ketua jurulatih, Mehmed Durakovic dengan merangkul kedudukan tempat ke-2 Liga Super dan juara Piala Malaysia 2018.

Tidak dilupakan, bersama skuad The Bos Gaurus, Shahrul turut meraih kedudukan naib juara Piala FA 2019.

Selain itu, pemain yang pernah beraksi bersama pasukan Harimau Muda B, Harimau Muda A dan Felda United suatu masa dahulu turut menjadi taruhan utama ketua jurulatih kebangsaan, Tan Cheng Hoe ketika membantu skuad Harimau Malaya bergelar naib juara Piala AFF Suzuki 2018. 

Dijangka pertahanan berketinggian 1.77 meter ini akan membentuk gandingan bersama pertahanan import, Mauricio dos Santos atau pertahanan senior tempatan, Aidil Zafuan.

Ia sekaligus memperkukuhkan lagi barisan pertahanan Harimau Selatan dalam usahanya untuk meraih kejuaraan Liga Super kelapan berturut-turut pada musim ini.

Bukan itu sahaja, kehadiran Shahrul juga akan memberikan nilai tambah kepada pasukan yang dimiliki oleh DYAM Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim untuk mengharungi saingan pentas elit asia, AFC Champions League pada musim ini.

Featured Image: JOHOR Southern Tigers

(Visited 63 times, 1 visits today)
Close