Written by 10:11 am Bola Sepak, Malaysia

FAM: Benarkan Gol ‘Tangan’ Shukor, Kesemua Pengadil Perlawanan Akan Dihukum

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan menghukum kesemua pengadil perlawanan yang membenarkan jaringan menggunakan tangan oleh pertahanan Kuala Lumpur City (KL City) FC, Shukor Adan ketika menentang UiTM FC pada sabtu lalu.

Ketika perlawanan tersebut, Shukor dikesan mengangkat tangan untuk menolak masuk bola ke gawang hasil sepakan percuma kapten pasukan, Paulo Josue. Bagaimanapun, disebabkan kepadatan pemain di dalam kotak penalti pada ketika itu, insiden tersebut gagal dikesan oleh pengadil perlawanan sekaligus mengesahkan jaringan tersebut.

Jaringan yang terhasil pada minit 90+5 tersebut membolehkan KL City menyamakan kedudukan 1-1 sekaligus meragut peluang buat UiTM yang dikendalikan oleh Frank Bernhardt untuk merasai kemenangan sulung dalam saingan Liga Super musim ini.

“Persatuan melalui Unit Pengadil sentiasa tekankan aspek posisi pengadil yang melibatkan jarak dan sudut pandangan, jangkaan fasa permainan dan ‘dropping zone’ bagi bola aerial, fokus dalam perlawanan terutama minit-minit terakhir serta kerjasama antara kesemua pegawai perlawanan agar dapat memberikan keputusan yang sewajarnya akan tindakan-tindakan pemain dalam perlawanan.

“Ternyata dalam situasi ini kesemua pegawai perlawanan kurang menitikberatkan aspirasi yang telah digariskan dalam memberikan satu keputusan yang tepat.

“Justeru, tindakan yang sewajarnya akan dikenakan kepada semua Pegawai Perlawanan yang bertugas pada perlawanan tersebut kerana kealpaan mereka dalam mengesan kesalahan memainkan bola dengan tangan sehingga mengubah keputusan perlawanan,” tegas Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Dato’ S. Sivasundaram dalam satu kenyataan.

Untuk makluman, perlawanan yang berlangsung di Stadium UiTM, Shah Alam itu diadili oleh Mohd Shahrizan Mohamad Solihin, Mohd Zainudin Md Isa (penjaga garisan 1), Hafizi Azmi (penjaga garisan 2) serta Mohd Shahmi Ismail (pengadil keempat).

(Visited 196 times, 1 visits today)
Close