Written by 5:16 pm Bola Sepak, Malaysia

Pemain Kedah Boleh ‘Beraya’ Hingga Khamis, Persiapan Piala AFC Bermula Jumaat

Pemain-pemain Kedah Darul Aman masih diberikan cuti untuk ‘beraya’ sehingga khamis ini namun bermula hari jumaat, mereka perlu kembali turun ke padang untuk berlatih.

Ketua jurulatih, Aidil Sharin Sahak berkata latihan pada kali ini memberikan tumpuan untuk memperbaiki kelemahan yang ada selain meningkatkan tahap kecergasan bagi mempersiapkan pasukan untuk mengharungi saingan Piala AFC yang dijadualkan bermula pada 29 jun kelak.

Dengan saingan Liga Super yang bercuti hampir dua bulan, Kedah dilihat mempunyai masa yang mencukupi untuk mempersiapkan pasukan bagi menghadapi saingan antarabangsa ini. 

Untuk memperkemaskan lagi persiapan skuad Hijau Kuning ini, Aidil turut merancang beberapa perlawanan persahabatan sebelum terbang ke negara jiran untuk menentang Persipura Jayapura, Saigo dan Lion City Sailors bagi aksi peringkat Kumpulan H.

Ketua jurulatih Kedah Darul Aman, Aidil Sharin Sahak – Foto: MFL

“Kita akan kembali berlatih pada Jumaat ini dan banyak perbincangan akan dilakukan nanti untuk kita perbaiki semua kelemahan yang ada di mana kita akan menggandakan sesi latihan bagi kekalkan tahap kecergasan fizikal pemain.

“Saya rasa sekarang kami tiada masalah daripada segi prestasi selepas menilai 13 perlawanan apabila kita hanya tewas dua kali, cuma yang penting adalah konsistensi pemain-pemain di mana hanya Syazwan sahaja yang tiada bersama kita kerana ACL.

“Sekarang saya akan merancang beberapa aksi persahabatan yang kita boleh lakukan dan semuanya akan kita pantau juga dengan situasi PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) ketika ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Daripada segi penglibatan pemain, hampir kesemuanya boleh kembali berlatih bermula jumaat ini melain tiga orang pemain yang dipanggil untuk untuk menyertai tugasan bersama-sama skuad kebangsaan masing-masing.

Tiga orang pemain tersebut ialah pertahanan kanan, Rizal Ghazali (Malaysia), pemain tengah bertahan, Anumanthan Kumar (Singapura) dan pemain tengah lincah, Rabih Ataya (Lubnan).

Bagaimanapun, Aidil yang mempunyai pengalaman membimbing kelab Singapura, Home United memenangi aksi peringkat zon ASEAN dalam saingan Piala AFC 2018 tidak meletakkan apa-apa sasaran awal bersama Kedah pada kali ini.

Jurulatih muda kelahiran Singapura ini lebih gemar untuk membimbing pasukannya mengharungi satu demi satu perlawanan sebelum membuat perhitungan di peringkat seterusnya atau saingan kalah mati.

“Saya ada memantau beberapa aksi yang ditampilkan oleh Persipura sebelum ini dan saya boleh katakan apa sahaja boleh berlaku dalam tempoh persediaan ini.

“Cuma saya tidak mahu letak ramalan apa-apa kerana saya nak pergi dari satu aksi ke satu aksi terlebih dahulu.

“Jika kita dapat keputusan positif untuk perlawanan pertama ini, mungkin kita akan lihat daripada situ untuk letak sasaran bagaimana,” jelasnya.

Untuk makluman, kesemua saingan Kumpulan H ini akan dilangsungkan di Singapura.

Featured Image: Kedah Darul Aman

(Visited 881 times, 1 visits today)
Close