Written by 5:45 pm Bola Sepak, Malaysia

Selain Zamir & Sean, Dua Lagi Pemain KL City Akan Dipinjamkan

Kuala Lumpur City (KL City) mengesahkan dua pemainnya iaitu penjaga gol, Zamir Selamat dan pemain tengah, Sean Giannelli secara rasminya dipinjamkan ke pasukan UiTM sehingga tamat saingan Liga Super 2021.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KL City, Stanley Bernard mengatakan tujuan utama membenarkan pemain-pemain ini dipinjamkan kepada pasukan lain adalah untuk memberikan peluang buat mereka mendapatkan minit permainan.

Selain daripada dua pemain yang diumumkan ini, Stanley, tanpa mendedahkan mana-mana nama memaklumkan terdapat dua lagi pemain skuad Ibu Kota akan dilepaskan untuk dipinjamkan kepada pasukan lain.

“Kita sudah mengesahkan (meminjamkan) Zamir Selamat dan Sean Giannelli ke UiTM (manakala) lagi dua pemain (masih) dalam perbincangan, 

“Kalau berlaku (dua pemain ini dipinjamkan), berlakulah, kalau tidak berlaku kita tiada masalah sebab tujuannya memastikan pemain-pemain yang berkualiti ini mendapatkan minit permainan supaya kita dapat menganalisa mereka untuk musim hadapan,

“Mungkin kalau (kekal) dengan kelab kita sukar (untuk raih minit permainan) sebab perbezaan gaya permainan dan permintaan ketua jurulatih, tetapi jika dia ke kelab lain jurulatih lain akan menggunakan khidmatnya dan dia mendapat minit permainan, itu yang paling penting,” katanya kepada Sukanz.

Barangkali, selain daripada tiada dalam perancangan ketua jurulatih, Bojan Hodak pada musim ini, keputusan untuk melepaskan pemain-pemain ini untuk memberikan ruang kepada kemasukan pemain-pemain baharu pada jendela perpindahan pertengahan musim, kali ini.

Seperti sedia maklum, KL City telah mengesahkan mendapatkan dua pemain tunjang Perak iaitu Kenny Pallraj dan J. Partiban pada minggu lalu. Selain itu, mereka juga sedang berusaha untuk mendaftarkan dua pemain kacukan, Ryan Lambert dan Luke Tan Xian.

Gosip turut bertiup kencang mengenai usaha pihak pengurusan untuk mendatangkan penyerang baharu bagi menggantikan Dominique da Sylva yang kini masih dalam kecederaan.

Featured Image: Kuala Lumpur City

(Visited 131 times, 1 visits today)
Close