Written by 4:17 pm Bola Sepak, Malaysia

Berita Tidak Rasmi Lee Tuck Ke Terengganu Undang Reaksi Yang Pelbagai

Salah seorang bekas pemain Terengganu yang beraksi dalam saingan Liga Malaysia disahkan akan membuat kepulangan kembali ke skuad berpangkalan ke pantai timur itu secara pinjaman untuk mengharungi baki saingan musim ini.

Perkhabaran itu dibuat oleh wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam menerusi satu ciapan di akaun media sosialnya, pada hari ini. Difahamkan salah seorang daripada dua pemain import baharu yang diikat oleh Terengganu pada jendela perpindahan kali ini tidak lain dan tidak bukan ialah Lee Tuck.

Bagaimanapun, tiada sebarang makluman rasmi daripada pihak Terengganu setakat ini namun makluman kembalinya pemain tengah kelahiran Halifax, England telah kecoh dalam kalangan peminat Terengganu serta mengundang reaksi yang pelbagai.

Menerusi tinjauan di laman sosial kalangan penyokong Terengganu, ada yang menerima baik kepulangan Lee Tuck dan melihat ianya menjadi solusi kepada masalah kecederaan yang menimpa beberapa tonggak utama pasukan seperti Petrus Shitembi, Azalinullah Alias dan Chris Herd.

Tambahan pula, Lee Tuck telah beraksi bersama skuad Terengganu sejak tahun 2018 pastinya sudah ‘masak’ dengan percaturan ketua jurulatih, Nafuzi Zain menjadikan dia tidak perlu mengambil masa yang lama untuk menyesuaikan diri serta mencari keserasian bersama rakan sepasukan.

“Tak perlu ambil risiko (ikat) import baru yang tidak tahu pucuk pangkal, sekurang-kurangnya kita sudah tahu Lee Tuck mempunyai kualiti dan serasi dengan taktikal Nafuzi Zain,” tulis Fizee Amri.

Sementara itu, ramai juga melihat kembalinya Lee Tuck dapat memberikan nilai tambah kepada Terengganu ketika situasi bola mati. Pemain yang bakal menjengah usia 33 tahun pada jun hadapan ini sudah diketahui akan kemampuannya ketika mengambil sepakan percuma, sepakan sudut dan sepakan penalti.

Tidak dilupakan, Lee Tuck turut mempunyai stamina yang tinggi serta kebolehan untuk melakukan rembatan dari luar kotak penalti.

Pada masa yang, tidak kurang juga kalangan penyokong Terengganu yang tidak berkenan dengan perkhabaran kepulangan Lee Tuck ini. Hadirnya Lee Tuck ini akan menyebabkan pemain yang sedang dalam prestasi terbaik, Dechi Marcel akan kehilangan tempatnya di skuad utama dan dipaksa turun ke pasukan simpanan, Terengganu II.

Bagaimana pula dengan pendapat anda?

Featured Image: Terengganu FC

(Visited 165 times, 1 visits today)
Close