Written by 11:39 am Bola Sepak, Malaysia

Aksi Sistematik & Kuat Bersuara Jadi Taruhan Sam Rebut Posisi No.1 Harimau Malaya

Penjaga gol kacukan England-Malaysia, Samuel Jacob Somerville bakal mempertaruhkan ‘aset’ terbaiknya bagi memikat ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe untuk merebut posisi penjaga gol utama skuad Harimau Malaya.

Pemain berusia 26 tahun ini cukup teruja dapat menyertai kem latihan skuad kebangsaan buat kali pertama. Selain dirinya, kem latihan skuad kebangsaan kali ini turut disertai oleh dua lagi penjaga gol, Farizal Marlias dan Khairul Azhan Khalid.

Persaingan untuk merebut posisi penjaga gol utama pasukan dilihat amat sihat. Bagi Samuel, masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri termasuk dirinya dan ini memberikan manfaat kepada skuad Harimau Malaya untuk melayan baki kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 kelak.

“Ketika ini saya menjalani latihan dengan keadaan yang cukup baik bersama dua penjaga gol lain (Farizal dan Khairul Azhan) yang semua mengetahui mereka cukup berpengalaman.

“Persaingan sebagai penjaga gol utama skuad Harimau Malaya adalah cukup bagus dengan masing-masing akan mempamerkan aksi terbaik.

“Mungkin kelebihan yang ada pada saya adalah aksi lebih sistematik dan kuat bersuara ketika berada di atas padang dalam usaha mengekang asakan lawan,” katanya seperti dipetik daripada Berita Harian.

Difahamkan, hari ini menjadi hari terakhir mereka menjalani latihan di ibu negara sebelum berlepas ke Dubai pada pagi esok.

Pemain yang mesra dengan panggilan Sam ini mungkin berpeluang untuk melakukan debut bersama Harimau Malaya dengan lebih awal apabila mereka akan beraksi dalam dua perlawanan persahabatan terlebih dahulu sebelum menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 3 jun kelak.

Dua perlawanan persahabatan yang telah dirancang adalah menentang Kuwait pada 23 mei dan Bahrain pada 28 mei ini.

Untuk makluman, skuad Harimau Malaya kini menduduki tangga kedua di Kumpulan G dengan mengumpul 9 mata hasil daripada 3 kemenangan dan 2 kalah. Di tempat pertama adalah Vietnam yang mengumpul 11 mata.

Featured Image: Football Association of Malaysia

(Visited 126 times, 1 visits today)
Close