Written by 1:15 pm Bola Sepak, Malaysia

Dato’ Vida Sedang Kaji Pro & Kontra Beli Perak FC

Usahawan terkenal, Dato’ Seri Dr. Hasmiza Othman atau lebih dikenali sebagai Dato’ Vida dikhabarkan tidak menolak kemungkinan untuk menjadi pemilik baharu Perak FC.

Menurut laporan, dimaklumkan usahawan berusia 49 dan berasal dari Kelantan itu telah pun dirisik untuk menjadi kelab baharu yang bersaing dalam kancah Liga Super tersebut.

Bagaimanapun, pada ketika ini, dia sedang membuat pertimbangan dengan teliti samada untuk memiliki pasukan yang terkenal dengan julukan The Bos Gaurus itu atau tidak.

“Memang ada yang sudah risik (jadi pemilik baharu) dan saya pun memang minat. Apa-apa pun kena lihat dulu ‘deal‘ bagaimana.

“Saya perlu kaji pro dan kontra jika beli pasukan itu. Jika kena gaya, saya pasti setuju,” katanya seperti dipetik daripada Utusan Malaysia.

Untuk makluman, Vida bukan individu yang asing dalam kancah bola sepak tempatan. Pada tahun 2016, beliau tampil menjadi penaja pasukan Kelantan menerusi syarikatnya yang mengeluarkan produk kecantikan.

Berbekalkan pengalaman tersebut, beliau sedia maklum perniagaannya tidak akan memperoleh manfaat ‘menang-menang’ jika mengambil alih pasukan Perak pada ketika ini. 

“Memang tiada ‘win-win ­situation’. Bola sepak kita bukan seperti di luar negara yang boleh jana pendapatan.

“Banyak perkara perlu saya fikir dan teliti sebab masalah utama kelab bola sepak di negara ini adalah membabitkan gaji pemain dan pengurusan,” katanya lagi.

Untuk makluman, Perak mengharungi musim yang agak mencabar pada musim ini setelah berhadapan isu tunggakan gaji dan sebagainya. Ini menyebabkan beberapa pemainnya telah dan sedang berkira-kira untuk ‘angkat kaki’ meninggalkan pasukan.

Buat masa ini, Perak yang dikendalikan oleh Chong Yee Fatt berada di kedudukan ke-10 saingan Liga Super dengan kutipan 10 mata daripada 13 perlawanan.

(Visited 246 times, 1 visits today)
Close