Written by 7:03 pm Bola Sepak, Malaysia

Bakal Pemain Terengganu, Habib Akan Tiba di Ibu Negara Minggu Hadapan

Bakal pemain tengah baharu Terengganu FC, Habib Haroon dikhabarkan akan tiba di ibu negara seterusnya menjalani tempoh kuarantin bermula minggu hadapan.

Difahamkan, kehadiran pemain tengah berusia 20 tahun ini untuk mengisi kekosongan slot pemain import kuota asia bagi mengharungi baki saingan Liga Malaysia dan Piala AFC 2021.

Menerusi satu makluman daripada sumber yang rapat dengan pasukan, penghijrahan pemain ini nampaknya bukan lagi menjadi satu rahsia dan ianya hampir pasti direalisasikan.

Habib yang mempunyai pengalaman beraksi di pentas Piala AFC ini dijangka akan diumumkan sebagai pemain baharu Terengganu pada hujung bulan ini sebelum jendela perpindahan pertengahan musim ditutup.

“Ya, pemain berkenaan bakal mengisi kuota pemain import asia bagi menggantikan bekas pertahanan Aston Villa, Christopher Herd yang diketepikan akibat kecederaan yang memerlukan pembedahan.

“Jika semua dokumen selesai dan tidak ada sebarang masalah termasuk pemeriksaan kesihatan, pemain yang bakal memperkuatkan jentera tengah pasukan itu akan tiba di Kuala Lumpur minggu depan.

“Bagaimanapun saya jangkakan pemain itu bakal menjalani latihan bersama rakan pasukannya pada bulan depan kerana perlu dikuarantinkan di ibu kota terlebih dahulu,” kata sumber yang dirahsiakan kepada Harian Metro.

Sebelum ini, nama Habib kecoh dikaitkan dengan penghijrahan ke Terengganu apabila salah sebuah akaun media sosial berpangkalan di Bahrain mendedahkan berita tersebut.

Pendedahan itu dikuatkan lagi dengan tindakan Habib yang turut memuat naik mengenai berita tersebut di akaun Instagram peribadinya dua hari lalu.

Untuk makluman, semasa beraksi bersama pasukan Riffa dalam saingan Liga Bahrain dari tahun 2018 hingga 2020, Habib yang merupakan kelahiran Nigeria pernah beraksi bersama-sama penyerang Selangor, Ifedayo Olusegun dan penyerang Sarawak United, Uche Agba.

Bersama pasukan tersebut, Habib berjaya membantu Riffa merangkul kejuaraan Liga Premier Bahrain 2018-19 bersama-sama Ifedayo dan Uche Agba. Bagaimanapun, musim 2020-21 menyaksikan dia menyertai pasukan Al-Khalidiya yang bersaing dalam liga divisyen dua Bahrain.

(Visited 1,471 times, 1 visits today)
Close