Artikel

PSM Disingkirkan Daripada Ahli Gabungan ASTAF

Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF) mengumumkan menyingkirkan badan induk sepak takraw negara iaitu Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) daripada pertubuhan itu secara serta-merta, semalam.

Pengerusi Panel Pendengaran Tatatertib ASTAF, Yogender Singh memaklumkan keputusan menyingkirkan PSM daripada ASTAF dibuat secara sebulat suara menerusi sesi perbicaraan atas talian.

Sesi perbicaraan tersebut turut dihadiri oleh wakil dari India, Indonesia, Iran, Jepun, Malaysia, Pakistan dan Thailand menerusi aplikasi Zoom.

Keputusan itu dibuat selepas PSM dan presidennya, Datuk Seri Ahmad Ismail atau lebih dikenali dengan panggilan Tok Mat didapati tidak mengikut perjanjian untuk mematuhi objektif ISTAF dan perlembagaan ASTAF.

“PSM didapati bersalah kerana melanggar perjanjian bertulis kepada Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) dan ASTAF pada 14 Mac 2008.

“Selepas mendengar pertuduhan yang dijatuhkan oleh pihak pendakwaan dan juga tiga saksi yang mengadili, panel pendengaran bersetuju dan mengesyorkan tindakan tatatertib kepada PSM. 

“PSM dilucutkan daripada menjadi ahli gabungan ASTAF berkuatkuasa serta merta,” katanya seperti dipetik daripada Kosmo.

Susulan hukuman penyingkiran tersebut, PSM diberikan masa selama 14 hari untuk mengemukakan rayuan terhadap keputusan tersebut.

Sebagai tambahan, sekiranya PSM memilih untuk membuat rayuan mereka perlu membayar AS$2,000 bagi proses berkenaan.

Sebelum ini, Tok Mat telah dijatuhkan hukuman gantung daripada sebarang aktiviti sukan sepak takraw selama 15 tahun dan didenda sebanyak AS$25,000 oleh ASTAF.

Beliau didapati bersalah kerana menghantar surat kepada Majlis Olimpik Asia dan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa untuk meminta campur tangan keputusan pemilihan Kongres ASTAF pada 1 mac lalu.

komen