Artikel

Kenali Dua Pemain Serie D Brazil Yang Bakal Menyarung Jersi Melaka United

Ekoran terperosok di tangga ke-11 Liga Super selepas 13 perlawanan, Melaka United tampilkan ‘Pelan B’ dengan melakukan sedikit perubahan terhadap barisan serangannya pada jendela perpindahan kali ini.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Melaka United, Datuk Justin Seri Justin Lim menyatakan kepada media bahawa mereka telah mendapatkan dua penyerang asing baharu untuk menggantikan Alex Goncalves dan Stefan Nikolic yang menampilkan persembahan kurang memuaskan.

Difahamkan, kedua-dua penyerang yang beraksi dalam saingan divisyen keempat bola sepak Brazil iaitu Serie D ini sudah tiba di Malaysia dan sedang menjalani kuarantin wajib. Sepertimana yang didedahkan oleh pemangku CEO, kedua-dua pemain ini bernama Gomez dan Adriano.

Buat para penyokong skuad Hang Tuah, berikut adalah informasi yang kami dapati mengenai kedua-dua pemain yang akan menyarung jersi Melaka United bagi mengharungi baki saingan Liga Malaysia 2021:

Nama: Giovane Gomez da Silva

Negara Asal: Brazil

Tarikh Lahir: 20 Mac 1995

Umur: 26 Tahun

Tinggi: 1.88 meter

Kelab Terdahulu: Caxias do Sul

Gomez boleh dikatakan masih lagi muda dan sebelum ini kariernya hanya tertumpu di dalam negaranya sendiri. Karier tertingginya setakat ini adalah beraksi dalam saingan divisyen dua Brazil bersama Remo pada tahun 2020. Bercakap mengenai gaya permainannya, Gomez boleh dilabel sebagai penyerang berbaka ‘The Poacher’ atau seringkali digelar ‘fox in the box’. Ini kerana, Gomez gemar berkeliaran dan menerima suapan bola sekitar atau di dalam kotak penalti sebelum melakukan sesuatu untuk menjaringkan gol. Bonus, pemain berketinggian 1.88 meter ini mempunyai tandukan yang berbisa.

Baca: Melaka United Pinjam Pemain Yang Pernah Berlatih Di Borussia Dortmund

Nama: Adriano Aparecido Narcizo

Negara Asal: Brazil 

Tarikh Lahir: 30 Ogos 1995 

Umur: 26 Tahun

Tinggi: 1.75 meter

Kelab Terdahulu: Galvez Esporte Clube

Beralih pula kepada penyerang kedua yang akan menyarung jersi Melaka United iaitu Adriano. Selain berkongsi umur yang sama dengan Gomez, penyerang ini juga tidak pernah berkelana ke luar negara. Gaya permainan Adriano sedikit kontra berbanding Gomez kerana dia boleh dikategorikan sebagai Penyerang Lengkap atau ‘The Complete Forward’.

Adriano boleh berperanan sebagai ‘poacher’ di dalam kotak, boleh berperanan sebagai ‘targetman’ untuk memegang bola dan boleh terlibat dalam ‘build-up play’ memandangkan memiliki kemampuan teknikal yang baik dan kerajinan.

Rumusannya, berdasarkan kepada kemampuan yang dimiliki oleh Gomez dan Adriano, kehadiran kedua-dua bakal penyerang ini dilihat melengkapi satu sama lain. Dijangka Gomez akan mengisi posisi penyerang utama (top striker) manakala Adriano akan berperanan sebagai penyerang kedua (second striker) di dalam kesebelasan utama Melaka United kelak.

Bagaimanapun, dengan rekod kedua-dua pemain ini tidak beraksi di luar negara dan sekadar bermain di divisyen keempat liga Brazil, sejauh manakah kehadiran mereka dapat menjamin skuad kendalian Zainal Abidin Hassan ini mampu mengelak daripada terjerumus ke kancah Liga Premier 2022?

Sama-sama kita nantikan…

komen