Written by 2:45 pm Asia, Bola Sepak, Malaysia

7 Pemain Boleh Merebut Posisi Bek Kanan Skuad Harimau Malaya

Posisi bek kanan dalam skuad kebangsaan tidak akan berhadapan dengan masalah ketandusan pemain buat masa ini. Lebih-lebih lagi setelah berita tidak rasmi mengenai penyertaan pemain kacukan Belgium-Malaysia, Dion Cools bersama skuad Harimau Malaya tersebar sekitar tengah malam tadi.

Kemasukan pertahanan berusia 24 tahun ini menjadikan Malaysia memiliki sekurang-kurangnya tujuh pertahanan kanan yang boleh dipanggil pada bila-bila masa oleh ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe untuk menyarung jersi Harimau Malaya.

Pada ketika ini, Cheng Hoe sudah membawa 3 bek kanan dalam kem latihan skuad kebangsaan yang akan mengharungi baki saingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Grafik oleh Optus Sport yang menunjukkan ‘squad depth’ bek kanan pasukan England.

Situasi ‘lambakan’ bek kanan yang terjadi ke atas Malaysia menghampiri apa yang terjadi kepada skuad kebangsaan England atau lebih dikenali sebagai The Three Lions. Bagaimanapun, situasi di England lebih ‘parah’ kerana pemain pertahanan kanan yang layak dipanggil untuk menyertai skuad kebangsaan boleh membentuk kesebelasan utama.

Pada selasa yang lalu, ketua jurulatih England, Gareth Southgate telah mengumumkan senarai sementara melibatkan 33 pemain yang akan menyertai skuad kebangsaan. Di posisi pertahanan kanan, jurulatih berusia 50 tahun itu menyeraikan empat pemain iaitu Alexander-Arnold (Liverpool), Reece James (Chelsea), Kieran Trippier (Atletico Madrid) dan Kyle Walker (Manchester City).

Bagaimana pula dengan ‘squad depth’ bek kanan Harimau Malaya? Berikut adalah tujuh pemain yang layak untuk merebut posisi pertahanan kanan skuad kebangsaan Malaysia: 

#1 Azam Azmi Murad

Kelab: Terengganu FC

Umur: 20 Tahun

Tarikh Lahir: 12 Februari 2001

Pengalaman di Pentas Antarabangsa: Malaysia B-19 (Piala AFF B-18, Kelayakan Kejuaraan AFC B-19)

Pemain muda kelahiran Pulau Pinang ini mula mencuri tumpuan ketika beraksi dalam saingan Piala AFF B-18 di Vietnam pada tahun 2019. Dia kemudiannya dipanggil untuk memperkuatkan skuad kendalian Brad Maloney dalam saingan kelayakan Kejuaraan AFC B-19. Menjadi tunjang utama di posisi fullback dan wing-back kanan dalam kedua-dua saingan dan kini menjadi taruhan utama skuad senior Terengganu FC.

#2 Quentin Cheng

Kelab: Penang FC (dipinjamkan oleh Selangor FC)

Umur: 21 Tahun

Tarikh Lahir: 20 November 1999

Pengalaman di Pentas Antarabangsa: Malaysia B-22 (Sukan SEA 2019)

Merupakan pemain kelahiran Australia tetapi ibu bapanya merupakan orang Malaysia. Pada tahun 2019, Quentin disenaraikan oleh Datuk Ong Kim Swee untuk mewakili skuad Harimau Muda bersaing dalam temasya Sukan SEA 2019. Mampu beraksi sebagai fullback dan wing-back, Quentin adalah tonggak utama Penang dalam saingan Liga Super 2021.

#3 Amirul Azhan Aznan

Kelab: Perak FC

Umur: 27 Tahun

Tarikh Lahir: 23 Julai 1993

Pengalaman di Pentas Antarabangsa: Skuad Senior Malaysia

Pemain produk Sekolah Sukan Bukit Jalil ini cukup setia bersama pasukan Perak sejak tahun 2012 lagi. Bersama skuad The Bos Gaurus, Amirul telah membantu pasukannya meraih naib juara Liga Super dan menjuarai Piala Malaysia 2018. Pernah beraksi di kelayakan Liga Juara-Juara AFC dan sebahagian daripada skuad Piala AFF Suzuki 2018.

#4 Syahmi Safari

Kelab: Selangor FC

Umur: 23 Tahun

Tarikh Lahir: 5 Februari 1998

Pengalaman di Pentas Antarabangsa: Malaysia B-19, Malaysia B-23 dan Skuad Senior Malaysia 

Nama yang tidak asing lagi di posisi pertahanan kanan skuad Harimau Malaya. Anak jati kelahiran negeri Selangor ini mula mencuri tumpuan ketika saingan Piala AFF Suzuki 2018 dan pastinya ramai tidak dapat melupakan, jaringan jarak jauhnya ketika bertemu Thailand di Stadium Rajamangala membantu Malaysia mara ke pentas final pada edisi tersebut.

#5 Rizal Ghazali

Kelab: Kedah Darul Aman FC

Umur: 28 Tahun

Tarikh Lahir: 1 Oktober 1992

Pengalaman di Pentas Antarabangsa: Skuad Senior Malaysia

Pemain yang tidak cukup asing lagi bersama skuad berpangkalan di utara tanah air iaitu Kedah. Terkenal dengan ‘kekerasannya’ ketika bertahan, Rizal telah membantu pasukannya mengecapi kejuaraan Liga Premier 2015, Piala FA 2017 & 2019, Piala Malaysia 2016 dan Piala Sumbangsih 2017.

#6 Matthew Davies

Kelab: Johor Darul Ta’zim

Umur: 26 Tahun

Tarikh Lahir: 7 Februari 1995

Pengalaman di Pentas Antarabangsa: Australia B-19, Malaysia B-23 dan Skuad Senior Malaysia

Pemain kacukan Australia-Malaysia, Matt Davies mula berkelana di Malaysia dengan menyertai Pahang pada tahun 2015. Sejak daripada itu, dia juga sering dipanggil untuk mewakili skuad Harimau Muda. Akhir-akhir ini, Matt menjadi antara calon utama untuk mengisi posisi bek kanan Harimau Malaya.

#7 Dion Cools

Foto: FC Midtjylland

Kelab: FC Midtjylland

Umur: 24 Tahun

Tarikh Lahir: 4 Jun 1996

Pengalaman di Pentas Antarabangsa: Belgium B-18, Belgium B-19 dan Belgium B-21

Penambahan terbaharu dalam skuad kebangsaan Harimau Malaya. Dia dikhabarkan bakal melakukan debut bersama pasukan Malaysia pada jun ini. Kehadirannya untuk membantu Malaysia melepasi saingan pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 bertemu Emiriah Arab Bersatu (UAE), Vietnam dan Thailand. Sebelum ini, Cools merupakan pemain skuad kebangsaan Belgium peringkat bawah umur.

(Visited 1,357 times, 6 visits today)
Close