Artikel

FC Midtjylland Umum Pertahanan, Dion Cools Sertai Skuad Harimau Malaya

Satu kejutan buat penyokong bola sepak tempatan apabila kelab berpangkalan di di Denmark, FC Midtjylland mengumumkan pertahanannya, Dions Cools menyertai skuad kebangsaan Harimau Malaya.

Penglibatan pertahanan kanan kacukan Belgium-Malaysia bersama skuad yang dikendalikan oleh Tan Cheng Hoe ini diumumkan menerusi satu makluman rasmi kelab sekitar 11.30 malam (26/5) waktu Malaysia.

“Dion Cools telah terpilih untuk menyertai skuad kebangsaan Malaysia buat pertama kali dalam kariernya.” 

“Cools mempunyai 28 penampilan bersama skuad kebangsaan Belgium peringkat remaja, tetapi dengan bapanya (warganegara) Belgium dan ibunya (berketurunan) Malaysia, dia boleh menyarung jersi skuad kebangsaan Malaysia.”

“Cools dan Malaysia akan menghadapi tiga perlawanan dalam kelayakan Piala Dunia dan Piala Asia. Mereka akan bertemu Emiriah Arab Bersatu (UAE), Vietnam dan Thailand, di mana pemain FC Midtjylland ini akan melakukan debut.” kata kenyataan kelab tersebut.

Sebagai rekod, pertahanan berusia 24 tahun ini telah melakukan 16 penampilan dalam saingan Superligaen dan menjaringkan satu gol pada musim ini. Sementara itu, dia juga mencatatkan 3 penampilan dalam saingan paling berprestij di eropah iaitu Liga Juara-Juara UEFA (UCL).

Untuk makluman, Dions Cools telah lama dikaitkan untuk menyertai skuad Harimau Malaya. Ianya bermula pada tahun 2017 ketika skuad kebangsaan dibimbing oleh Nelo Vingada.

Diharapkan dengan kehadiran Cools bersama skuad Harimau Malaya pada ketika ini, ianya dapat memperkukuhkan lagi pasukan sekaligus membantu kemaraan Malaysia ke peringkat seterusnya dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Featured Image: FC Midtjylland

komen