Artikel

PJ City Mahukan Hazwan Bakri, JDT Belum Berikan Sebarang Respon

Pasukan yang berada di kedudukan ke-8 Liga Super, Petaling Jaya City (PJ City) terus menantikan khabar daripada Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam usahanya untuk mendapatkan penyerang kelab tersebut.

Menurut laporan Harian Metro, pasukan yang dibimbing oleh P. Maniam tersebut mengakui mahu mendapatkan khidmat Hazwan Bakri yang pernah menyarung jersi skuad kebangsaan.

Ia bertujuan untuk memantapkan lagi barisan serangan The Pheonix lebih-lebih lagi penyerang utamanya, Darren Lok sedang mengalami kecederaan.

“Memang kelab sedang berusaha untuk mendapatkan khidmat Hazwan kerana dia seorang pemain berpengalaman yang diyakini boleh membantu memperkuatkan lagi jentera serangan pasukan.

“Jika dapat dia (Hazwan) amat bagus kerana kita perlu mantapkan lagi barisan depan, tambahan pula penyerang utama pasukan, Darren Lok menghadapi masalah kecederaan.

“Bagaimanapun, setakat ini usaha itu belum mendapat perkembangan dan maklum balas daripada kelabnya. Kita berharap usaha kita berjaya,” kata pengurus pasukan, K. Rajendran seperti dipetik daripada Harian Metro.

Selain daripada ingin mendapatkan khidmat Hazwan, pasukan yang berpangkalan di Petaling Jaya ini tidak bercadang untuk mendapatkan pemain lain dan menaruh kepercayaan penuh kepada skuad sedia ada.

“Kita tidak bercadang untuk menukar pemain sedia ada sebaliknya hanya mengharapkan dapat membawa masuk Hazwan bagi memperkuatkan jentera serangan,” katanya lagi.

Musim ini, PJ City melakukan pertaruhan yang berani dengan menampilkan 100% pemain tempatan untuk mengharungi saingan Liga Super. Bagaimanapun, percaturan tersebut dilihat memberikan keputusan yang memuaskan dengan merekodkan tiga kemenangan, enam seri dan hanya tewas empat kali.

Featured Image: JOHOR Southern Tigers

komen