Artikel

Terengganu Tak Sempat Daftar Pemain Import Baharu Sebelum Jendela Perpindahan Ditutup?

Tinjauan kami di alam maya pada petang semalam melihatkan majoriti penyokong pasukan Terengganu FC mula gelisah apabila tiada pengumuman rasmi mengenai kehadiran pemain import baharu ke skuad tersebut.

Sebelum ini, pasukan Terengganu memaklumkan akan mengikat dua pemain import baharu ketika jendela perpindahan kedua bagi menggantikan pemain-pemain importnya yang ditimpa kecederaan iaitu Petrus Shitembi dan Chris Herd.

Namun demikian, hanya kelibat bekas kapten, Lee Tuck sahaja diumumkan secara rasmi kembali menyertai Terengganu dan menjalani sesi latihan bersama skuad Hitam Putih mengikut kaedah ‘Camp Based Training’.

Kelibat Lee Tuck dalam sesi latihan skuad Terengganu

Perkara ini mengundang ‘cakap-cakap’ dalam kalangan penyokong bahawa pemain tersebut, dipercayai bernama Habib Haroon, berusia 20 tahun, tidak sempat didaftarkan oleh skuad kendalian Nafuzi Zain itu.

Pengurus Terengganu, Zulfadli Rozi menjelaskan peminat tidak perlu gelisah kerana urusan perpindahan pemain tersebut telah selesai dan didaftarkan kepada Malaysian Football League (MFL) seminggu awal daripada tarikh tutup jendela perpindahan kedua, semalam. 

“Memang kita ambil dua orang (pemain baharu), seorang lagi akan diumumkan secara rasmi menerusi media sosial Terengganu FC kelak, dia (pemain tersebut) sudah sampai (di ibu negara) dan sedang menjalani kuarantin,”

“Pendaftaran (pemain tersebut) kita telah selesaikan seminggu sebelum jendela perpindahan ditutup bersama-sama dengan pendaftaran Lee Tuck (baru-baru ini),” katanya ketika dihubungi oleh Sukanz, hari ini.

Tambahnya lagi, pemain tersebut dijangka akan diumumkan secara rasmi selepas tamatnya kuarantin wajib selama 14 hari. Dia dijangka akan menyertai latihan bersama pasukan pada pertengahan jun kelak.

Featured Image: Instagram Habib Haroon

komen