Artikel

Pemilik JDT Yakinkan Dion Cools Untuk Wakili Skuad Senior Malaysia

Bekas pemain bawah umur skuad kebangsaan Belgium, Dion Johan Cools diumumkan dengan rasminya menyertai skuad senior Malaysia oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), pada hari ini.

Pengumuman rasmi dibuat menerusi media sosial rasmi FAM sejurus Dion Cools tiba di Dubai pada awal pagi tadi.

Menurut Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata, proses penukaran status pasukan negara Dion Cools daripada Belgium ke Malaysia sudah berjalan lama selepas pertahanan berusia 25 tahun itu menyatakan minat dan persetujuannya untuk mewakili Harimau Malaya di peringkat senior.

Namun, disebalik usaha yang dilakukan oleh FAM untuk membawa Dion Cools menyertai skuad kendalian Tan Cheng Hoe ini, Stuart turut mengucapkan terima kasih atas peranan yang dimainkan oleh pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT).

“Junjung kasih juga kepada DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor kerana baginda telah memainkan peranan cukup penting dalam meyakinkan Dion Cools untuk memilih Malaysia sebagai pasukan negara yang ingin diwakilinya di peringkat senior.” kata Stuart dipetik dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.

Dengan penyertaannya, skuad Harimau Malaya menerima tonik tambahan untuk menghadapi Emiriah Arab Bersatu (UAE), Vietnam dan Thailand dalam aksi baki pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Untuk makluman, Dion Cools merupakan pemain kelahiran Kuching, Sarawak dan ibunya juga merupakan orang Malaysia. Namun, dia dibesarkan dari kecil di Belgium oleh keluarganya.

Dion Cools memulakan kerjaya bola sepak profesional bersama kelab berpangkalan di negara tersebut iaitu OH Leuven sebelum berhijrah ke kelab gergasi Belgium, Club Brugge. Untuk aksi diperingkat antarabangsa, Dion Cools telah mewakili skuad B-18, B-19 dan B-21 Belgium.

Ketika ini, Dion Cools bermain bersama pasukan dalam saingan Liga Denmark, FC Midtjylland dan mempunyai kontrak bersama kelab tersebut sehingga 30 jun 2023.

Featured Image: JOHOR Southern Tigers & FC Midtjylland

komen