Written by 9:10 am Asia, Bola Sepak, Eropah, Malaysia • One Comment

FAM Sedia Menerima Mana-Mana Pemain Kacukan Berkualiti Termasuk Wan Kuzain

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bersedia menerima pemain-pemain berdarah kacukan atau warisan berkualiti yang lain seperti Wan Kuzain untuk menyertai skuad kebangsaan. Ianya bertujuan untuk memberikan lebih banyak pilihan kepada ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe untuk membentuk kesebelasan terbaik Harimau Malaya.

Semalam, pemain kelahiran Amerika Syarikat, Wan Kuzain Wan Kamal dilihat memberikan reaksi terhadap penyertaan Dion Cools. Dia mengulangi ciapan akaun twitter rasmi FAM tersebut dengan meninggalkan emoji ‘thinking face’.

Tindakan pemain tengah berusia 22 tahun yang bermain bersama Rio Grande Valley FC tersebut seakan-akan memberikan satu isyarat mahu membuat pertimbangan untuk turut sama menyertai kem skuad kebangsaan sekiranya dipanggil berbuat demikian.

Tangkap layar ciapan Wan Kuzain

Malahan ciapan tersebut turut mendapat perhatian Presiden FAM, Datuk Haji Hamidin Mohd Amin.

“Masih banyak lagi pemain (berdarah kacukan dan warisan), mungkin Wan Kuzain yang kita dapat tahu hari ini (semalam) ada tweet dalam twitter-nya macam berminat (sertai skuad kebangsaan),”

“Kita pun pernah follow up sebelum ini, pada setahun dua tahun lepas,”

“Bagi kita mana-mana pemain yang berkualiti, kita sedia menerima untuk beri peluang kepada coach memilih ke skuad kebangsaan,”

“Apabila kita dapat (pemain berdarah kacukan lain) tu, kita sama-sama berdoa agar pasukan ini berjaya.” kata Hamidin semasa turun meninjau latihan skuad kebangsaan di Dubai.

Untuk makluman, walaupun lahir di negara Uncle Sam, Wan Kuzain boleh beraksi bersama skuad kebangsaan kerana merupakan dia merupakan anak kepada pasangan suami isteri kelahiran Malaysia.

Wan Kuzain ketika menyertai kem latihan skuad kebangsaan B-22

Sebelum ini, Wan Kuzain telah menyertai kem latihan skuad Malaysia B-22 untuk persediaan ke temasya Sukan SEA 2019 kendalian Dato’ Ong Kim Swee. Bagaimanapun, dia tidak dapat dibawa ke Manila, Filipina kerana masalah dokumentasi.

Selain itu, adik kepada Wan Kuzain iaitu Wan Kuzri juga pernah menyertai kem latihan skuad kebangsaan B-19 di bawah bimbingan Brad Maloney pada tahun 2020.

Selain dua pemain ini, terdapat beberapa lagi pemain berdarah kacukan atau warisan yang boleh dipanggil untuk menyertai skuad kebangsaan seperti Isaac Angking, Jaami Qureshi, Nathaniel Shio Hong Wan dan Kobe Jae Chong.

(Visited 596 times, 1 visits today)
Close