Artikel

Kekosongan Slot Import ASEAN JDT Bakal Diisi Oleh Syahrian Abimanyu?

Kekosongan slot pemain import kuota ASEAN yang ditinggalkan oleh bekas kapten, Hariss Harun di Johor Darul Ta’zim (JDT) hampir pasti terjawab dengan pengumuman oleh Pengarah Sukan, Martin Prest pada hari ini.

Menurut pengumuman tersebut, pemain muda berasal dari Indonesia,  Syahrian Abimanyu akan kembali bersama skuad Harimau Selatan selepas tamat tempoh pinjaman singkat bersama pasukan Newcastle Jets.

Pemain yang mesra dengan panggilan Abi dan berusia 22 tahun ini akan pulang untuk membantu JDT mengharungi baki saingan Liga Malaysia 2021.

Kenyataan oleh Martin Prest, hari ini.

Dia dijangka mengisi slot kekosongan yang ditinggalkan oleh Hariss bukan sahaja kerana datangnya daripada negara Indonesia yang merupakan salah sebuah negara ASEAN.

Faktor lainnya adalah kerana dia sendiri merupakan seorang pemain tengah ‘No.6’. Berdasarkan pemerhatian kepada gaya dan kemampuan individunya, Abi gemar turun ke bahagian tengah untuk mendapatkan bola.

Setelah mendapat bola, dia akan melakukan hantaran jauh mencari rakan sepasukannya.

Posisi dan tugasan ini hampir sama dimainkan oleh Hariss ketika menyarung jersi Merah Biru. Bagaimanapun, Hariss mempunyai tugasan tambahan iaitu mematahkan pergerakan pemain tengah pasukan lawan ketika menyerang.

Ketika ini, Aby sedang bersama-sama skuad kebangsaan Indonesia yang dibimbing oleh Shin Tae-yong untuk mengharungi saingan pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 peringkat Kumpulan G.

Skuad Garuda dijadualkan bertemu Thailand (4 jun), Vietnam (8 jun) dan Emiriah Arab Bersatu (12 jun).

Featured Image: JOHOR Southern Tigers & Newcastle Jets

komen