Artikel

TMJ Mahu Hantar JDT III Beraksi di Liga Singapura

Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), DYAM Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim berhasrat untuk menghantar skuad Piala Presiden, JDT III untuk beraksi dalam saingan Liga Singapura.

Menurut baginda yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ), perancangan untuk menghantar skuad bawah 21 tahun ini beraksi ke saingan negara jiran tersebut bagi memberikan lebih perlawanan kompetitif kepada pemain-pemain pelapis skuad Harimau Selatan.

“Sekarang kita sedang berbincang dengan Football Association of Singapore (FAS) untuk letak JDT III bermain di Liga Singapura,”

“Kerana kita nak beri lebih perlawanan kompetitif kepada pemain-pemain muda kita, sekarang ini di Malaysia mereka tidak mendapat perlawanan yang kompetitif,” kongsi baginda dalam sesi Nindia Bola bersama Hafizal Hamad dan Zulhelmi Zainal Azam di platform Instagram.

Ketika ini, saingan Liga Singapura turut disertai oleh sebuah pasukan satelit dari Jepun iaitu Albirex Niigata yang membariskan rata-rata pemain muda kelahiran negera matahari terbit tersebut.

Untuk makluman, pasukan tersebut telah beraksi dalam saingan Liga Singapura sejak tahun 2004 lagi.

Selain itu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pernah menghantar skuad pelapis negara, Harimau Muda A dan Harimau Muda B beraksi dalam saingan Liga Singapura bermula tahun 2012 hingga 2015.

Featured Image: JOHOR Southern Tigers

komen