Artikel

Hari Malang Buat Pemain-Pemain Import Liga Malaysia

Kesemua pemain import Liga Malaysia yang beraksi bersama skuad kebangsaan masing-masing dalam saingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada semalam dan awal pagi tadi melalui hari yang malang.

Seramai 3 daripada 6 pemain import yang beraksi samada sebagai pemain kesebelasan utama atau gantian hanya terpaksa akur menanggung kekalahan kepada lawan masing-masing. 

Bermula dengan pemain import Penang, Sheriddin Boboev yang mewakili Tajikistan terpaksa akur tewas besar 4-1 di tangan Jepun, semalam. Tidak banyak yang dapat dilakukan oleh pemain berusia 22 tahun ini memandangkan dia masuk sebagai pemain gantian pada babak kedua ketika pasukannya ketinggalan 3-1.

Beralih pula kepada pemain tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), Syahrian Abimanyu yang beraksi bersama pasukan Indonesia terpaksa menelan hakikat yang pedih tewas 4-0 kepada Vietnam. Dalam perlawanan ini, Abimanyu bermula sebagai pemain kesebelasan utama namun hanya beraksi sehingga ke minit ke-69 sahaja.

Seterusnya kita akan melihat pula skuad kebangsaan Filipina. Seramai tiga orang import Liga Malaysia dipanggil untuk menguatkan skuad The Azkals namun hanya seorang sahaja yang diturunkan semalam iaitu, Carli de Murga dari Terengganu. Filipina tewas 2-0 kepada negara hos Piala Asia 2023, China.

Seorang lagi pemain hanya berada di bangku simpanan Filipina iaitu Kevin Ray Mendoza (KL City) manakala pemain tengah Melaka United, Manuel Ott tidak disenaraikan pada hari perlawanan.

Terakhir adalah melibatkan pasukan jiran tetangga, Singapura yang turut memanggil pemain tengah Kedah, Anumanthan Kumar. Awal pagi tadi, mereka tewas 5-0 ketika beraksi menentang Uzbekistan. Bagaimanapun, Anu hanya sekadar memanaskan bangku simpanan sepanjang 90 minit permainan.

Begitulah sedikit sebanyak penglibatan pemain import Liga Malaysia dan keputusan skuad kebangsaan masing-masing ketika perlawanan yang berlangsung semalam dan awal pagi tadi.

komen