Written by 4:27 pm Asia, Bola Sepak, Malaysia

Ketiadaan Quang Hai Khabar Gembira & Boleh Diambil Kesempatan oleh Malaysia

Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe merasakan ketiadaan kelibat pemain perancang dan peledak pasukan Vietnam, Nguyen Quang Hai memberikan sedikit khabar gembira buat pasukannya.

Quang Hai tidak dapat beraksi pada perlawanan seterusnya menentang Malaysia pada aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 kerana dilayangkan kad kuning dalam perlawanan menentang Indonesia, awal pagi tadi.

Ia menyebabkan dia telah mengumpul dua kad kuning sekaligus perlu menjalani satu penggantungan perlawanan.

“Kita tahu Nguyen Quang Hai merupakan seorang perancang dan penyumbang gol untuk pasukan Vietnam, (kehilangannya) mungkin (beri) khabar gembira untuk skuad kebangsaan tetapi saya rasa jurulatih Park (Hang-seo) pun ada mengatakan dia tidak terlalu khuatir tentang kehilangan pemain bernombor 19,

“Malah dia ada perancangan lain untuk menggantikan pemain nombor 19 ini tetapi mungkin kita kena ambil kesempatan (atas) ketiadaan Nguyen Quang Hai supaya kita dapat bermain sebagai sebuah pasukan dan jentera serangan lebih berkesan pada kali ini.” katanya dalam sidang media dalam talian pada hari ini.

Untuk makluman, Quang Hai merupakan salah seorang pemain yang menyumbangkan gol ketika skuad Naga Emas meratah Indonesia 4-0 di Stadium Al Maktoum. Jaringannya hadir pada babak kedua menerusi satu rembatan kuat dari luar kotak penalti.

Sebagai rekod, Quang Hai juga merupakan penjaring gol tunggal ketika menumpaskan Malaysia 1-0 pada aksi ‘home’ peringkat Kumpulan G di Stadium My Dinh, Hanoi pada oktober 2019 yang lalu.

Featured Image: Football Association of Malaysia

(Visited 160 times, 1 visits today)
Close