Written by 5:05 pm Asia, Bola Sepak, Malaysia • One Comment

Video: Gol Solo Rabih Ataya Tidak Membantu Lubnan Atasi Turkmenistan

Jaringan hasil gerakan solo pemain tengah Kedah Darul Aman, Rabih Ataya hanya membantu pasukan negaranya, Lubnan mengikat dan mendahului buat seketika waktu sahaja sebelum tewas pada minit-minit akhir di tangan Turkmenistan.

Rabih yang masuk sebagai pemain gantian pada minit ke-54 berjaya memberikan Lubnan gol penyamaan 1-1 pada minit ke-73. Ianya berpunca daripada satu larian solo ke dalam kotak penalti sebelum bertindak melepaskan rembatan menerusi kaki kirinya.

Selang dua minit kemudian, rakan sepasukannya, Soony Saad pula berhasil meletakkan Lubnan 2-1 di hadapan menerusi satu rembatan deras dari luar kotak penalti mengalahkan penjaga gol Turkmenistan, Rasul Charyyev.

Jaringan Rabih Ataya dan Soony Saad ketika menentang Turkmenistan.

Bagaimanapun, Turkmenistan nyata tidak mudah mengalah. Berbaki 15 minit permainan, mereka terus melancarkan serangan bertali arus ke arah gawang Lubnan. 

Usaha mereka nyata tidak sia-sia apabila mendapat sepakan percuma pada minit ke-84. Annaguliyev Guychmyrat mengambil peluang menyudahkan lambungan bola daripada sepakan percuma tersebut pada minit ke-85 untuk menyamakan kedudukan 2-2.

Malang pula menimpa buat Lubnan pada minit ke-86 setelah kaptennya, Nour Mansour dilayangkan kad merah sekaligus memaksa mereka mengharungi penghujung permainan dengan 10 orang pemain.

Ketika Rabih dan rakan-rakannya beranggapan mereka dapat mempertahankan keputusan seri dan membawa pulang satu mata daripada perlawanan ini, satu gerakan lincah oleh Zafar Babajanow ke dalam kotak penalti membolehkannya merembat masuk gol ketiga buat Turkmenistan pada minit ke-90.

Jaringan tersebut telah membunuh semangat Lubnan dan kedudukan 3-2 kekal memihak kepada Turkmenistan sehingga ke penghujung perlawanan. Walaupun kalah, Lubnan masih kekal di tangga kedua Kumpulan H dalam saingan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 dengan kutipan 10 mata.

(Visited 1,321 times, 1 visits today)
Close