Written by 3:12 pm Bola Sepak, Malaysia • One Comment

Kecederaan Berpunca Daripada Kekasaran Orang Lain, Asam Garam Bola Sepak – Darren Lok

Penyerang PJ City, Darren Lok menyifatkan kecederaan yang menimpanya disebabkan oleh kekasaran pemain lain merupakan asam garam dalam sukan bola sepak.

Darren yang terpaksa berehat panjang hampir tiga bulan lalu ekoran mengalami keretakan di bahagian fibula mengharapkan dia mampu kembali mempamerkan bisanya bersama The Phoenix sebaik Liga Super bersambung pada julai depan.

Baginya, tempoh rehat lebih dua bulan ini sememangnya satu kebetulan yang baik buat dirinya kerana memberikan lebih banyak masa untuk pulih selepas terpaksa melupakan aksi selama lapan perlawanan bersama PJ City di Liga Super.

Sempat mencuri perhatian daripada peminat dengan ledakan tiga gol dalam tiga perlawanan pertama Liga Super, Darren mengharapkan prestasi baiknya dengan PJ City mampu diteruskan bagi menghadapi baki saingan musim ini.

Foto: MFL

“Pemulihan saya nampaknya lebih lama daripada dijangka selain terdapat beberapa kecederaan susulan selepas itu malah saya belum boleh mencapai tahap yang membolehkan saya untuk sertai latihan.

“Namun, saya kini sedang cuba berusaha kembali ke padang latihan sebelum Liga Super bersambung dan tempoh rehat yang lama ini sememangnya satu kesempatan buat diri saya agar tidak perlu tergesa-gesa untuk pulih.

“Memang saya terasa sedikit sedih dan sukar untuk diterima kerana selepas bermain baik pada awal musim serta peluang untuk bermain, saya mendapat kecederaan yang bukan disebabkan kesalahan daripada diri sendiri sebaliknya daripada kekasaran pemain lain.

“Namun ini adalah asam garam bola sepak dan saya kena bangkit daripada apa yang berlaku, harap saya mampu kembali bantu pasukan bagi harungi baki saingan Liga Super,” katanya.

Darren mendapat kecederaan semasa aksi bertemu Kedah Darul Aman (KDA) pada 17 Mac sebelum kesannya dapat dirasai pada perlawanan berikutnya semasa membantu PJ City menewaskan Sri Pahang 1-0 yang menyaksikan dia hanya sempat bermain selama 25 minit.

Dia sebelum itu telah menjaringkan dua gol semasa seri 2-2 dengan Melaka United di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan gol kemenangan ketika menewaskan Sabah.

Featured Image: Malaysian Football League

(Visited 93 times, 1 visits today)
Close