Artikel

Penyerang Naturalisasi, De Paula Mengaku Namanya Zulhelmi

Sejak mendapat kad pengenalan biru dan menjadi warganegara Malaysia pada tahun ini, Guilherme de Paula diberikan nama panggilan baharu iaitu Zulhelmi oleh peminat bola sepak tempatan.

Siapa sangka nama panggilan Zulhelmi yang sekadar menjadi gurauan kalangan peminat kini digunakan sendiri oleh penyerang kelahiran Sao Paulo, Brazil yang berusia 34 tahun ini.

Perkara tersebut dikongsikan oleh Pegawai Media Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Wan Fakhrul Wan Bakar menerusi laman twitter peribadinya ketika De Paula menjalani ujian calitan menjelang pertemuan menentang Vietnam.

“Nama saya Guilherme de Paula Zulhelmi,” katanya kepada petugas yang melakukan ujian PCR ke atasnya, semalam.

Ciapan tersebut dikongsikan oleh Wan Fakhrul bagi menjawab persoalan seorang pengguna twitter, @burnquendro yang bertanyakan samada De Paula mengetahui atau tidak dirinya dipanggil Zulhelmi oleh sebahagian peminat dan penyokong skuad Harimau Malaya.

De Paula dinaturalisasikan oleh FAM setelah beraksi selama lima tahun berturut-turut dalam kancah bola sepak tempatan iaitu Liga Malaysia sejak tahun 2016.

Antara sebab lain dia dinaturalisasikan adalah untuk memberikan lebih pilihan kepada ketua jurulatih kebangsaan, Tan Cheng Hoe di bahagian serangan skuad kebangsaan terutamanya pemain yang mempunyai kelebihan daripada segi fizikal dan kemampuan untuk menjaringkan gol.

Untuk makluman, De Paula menjadi pemain ketiga yang dinaturalisasikan oleh FAM. Dua pemain sebelumnya adalah pemain sayap, Mohamadou Sumareh kelahiran Gambia dan pemain tengah, Liridon Krasniqi yang berasal dari Kosovo.

Featured Image: Football Association of Malaysia

komen