Artikel

Park Hang-seo Sangka Malaysia Miliki 4 Pemain Naturalisasi

Ketua jurulatih skuad kebangsaan Vietnam, Park Hang-seo menyangka skuad Malaysia mempunyai empat pemain naturalisasi untuk mengharungi baki pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Jurulatih berasal dari Korea Selatan itu sedia maklum akan kelibat pemain naturalisasi pertama negara iaitu Mohamadou Sumareh yang acap kali diturunkan pada perlawanan-perlawanan sebelum ini. 

Namun, Hang-seo mengatakan Malaysia menambah tiga orang lagi pemain naturalisasi yang terdiri daripada Dion-Johan Cools (pertahanan), Guilherme de Paula (penyerang) dan Sam Somerville (penjaga gol) untuk mengharungi Emiriah Arab Bersatu (UAE), Vietnam dan Thailand pada kali ini.

Beliau berkata demikian apabila ditanyakan mengenai percaturan Malaysia mempertaruhkan pemain-pemain naturalisasi pada sidang media sebelum perlawanan antara skuad Harimau dan Naga Emas di Stadium Al Maktoum, semalam.

“Sebenarnya, dalam aksi pertemuan kali pertama (Kumpulan G), Malaysia telah mempunyai seorang pemain naturalisasi. Sekarang, mereka mempunyai tiga orang lagi, termasuk pemain nombor 5, nombor 16 dan seorang penjaga gol.” 

“Oleh itu, mereka mempunyai empat pemain naturalisasi secara keseluruhan. Saya merasakan pemain-pemain naturalisasi, terutamanya penyerang, akan membantu banyak menjayakan taktik mereka.” katanya dipetik daripada portal berita berpangkalan di Vietnam, Nhan Dan.

Ketika Malaysia menentang UAE di Stadium Zabeel, baru-baru ini, jurulatih berusia 63 tahun ini turut turun ke stadium untuk memerhatikan permainan kedua-dua pasukan. Difahamkan, kelibat Dion Cools yang beraksi di posisi pertahanan tengah dan Liridon Krasniqi sebagai ‘midfielder’ turut mendapat perhatiannya.

Untuk makluman, Hang-seo barangkali tersilap informasi mengenai pemain naturalisasi yang menyertai skuad Malaysia pada ketika ini. Malaysia hanya menambah dua pemain naturalisasi iaitu Guilherme de Paula dan pemain tengah, Liridon Krasniqi.

Manakala bagi penjaga gol, Sam Somerville dan pertahanan berjersi nombor 5, Dion Cools seperti didakwa Hang-seo merupakan pemain berdarah kacukan atau warisan.

Featured Image: VFF

komen