Written by 4:16 pm Asia, Bola Sepak, Malaysia

Video: ‘Throwback’ Nyanyian Ekor Pada Ketinggian 35,000 Kaki Di Dalam Pesawat Menuju ke Hanoi

Kelompok penyokong tegar skuad bola sepak kebangsaan, Ultras Malaya atau ‘Ekor’ terkenal akan ‘perangainya’ yang suka mengekori dan menghadirkan diri untuk menyaksikan skuad Harimau Malaya bermain tanpa mengira masa dan lokasi.

Selain daripada turun menyaksikan permainan, mereka juga dikenali dengan kelompok penonton yang seringkali menyanyikan lagu atau ‘chanting’ dengan penuh bersemangat di dalam stadium bagi memberikan sokongan kepada 11 orang pemain yang menyarung jersi Malaysia beraksi di atas padang.

Antara ‘chant’ yang sering dinyanyikan dan dilaungkan oleh Ultras Malaya ialah Ekor Harimau Sejati, Bangkit Bersama, Berjuanglah Pahlawanku, Berikan Kemenangan termasuk nyanyian lagu patriotik, Inilah Barisan Kita.

Sekitar tiga tahun yang lalu, tular sebuah video Ultras Malaya menyanyikan lagu Ekor Harimau Sejati semasa berada di dalam pesawat yang sedang terbang di paras 35,000 kaki menuju ke Hanoi.

Ketika itu mereka sedang dalam perjalanan untuk hadir memberikan sokongan kepada skuad Harimau Malaya yang dijadualkan bertemu Vietnam pada aksi timbal balik kedua saingan Piala AFF 2018 di Stadium My Dinh.

Difahamkan permintaan untuk menyanyikan ‘chant’ tersebut datangnya daripada krew penerbangan AirAsia sendiri untuk memeriahkan seketika suasana penerbangan mereka. Malahan ‘mood’ para penyokong pada ketika itu cukup positif setelah Harimau Malaya berhasil mengikat Vietnam 2-2 pada aksi timbal balik pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Bagaimanapun, dengan pandemik covid-19 dan sekatan pergerakan pada ketika ini, satu kesedihan buat ‘ekor’ dan seluruh penyokong dari Malaysia tidak dapat terbang untuk menyaksikan dan memberikan sokongan kepada skuad Harimau Malaya menentang lawan yang sama di Stadium Al Maktoum, tengah malam nanti.

Perkongsian oleh Hermy ketika ‘ekor’ dalam perjalanan ke Hanoi untuk menyaksikan pertembungan Vietnam dan Malaysia pada peringkat Kumpulan A, Piala AFF 2018 (sebulan sebelum aksi final).

Meskipun tanpa ‘Ekor Harimau Sejati’ di Stadium Al Maktoum, seluruh penyokong pastinya sentiasa berada di belakang skuad Harimau Selatan dan mengharapkan para pemain dapat melakar keputusan yang positif pada tengah malam nanti.

(Visited 94 times, 1 visits today)
Close