Artikel

Euro 2020: Eriksen Jatuh Pengsan Ketika Menentang Finland

Situasi cemas berlaku ke atas pemain tengah Denmark, Christian Eriksen apabila dia jatuh pengsan semasa bermain menentang Finland dalam aksi pertama peringkat Kumpulan B, kejohanan Euro 2020.

Kejadian berlaku pada minit ke-42 apabila pemain berusia 29 tahun ini berlari anak-anak menuju ke garisan tepi untuk menerima bola lontaran ke dalam oleh rakan sepasukannya.

Bagaimanapun, belum sempat dia menerima bola tersebut, Eriksen jatuh pengsan secara tiba-tiba berdekatan dengan garisan tepi padang.

Rakan sepasukan yang menyedari Eriksen jatuh dan berada dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan pantas memanggil paramedik untuk memberikan bantuan kecemasan. 

Dapat dilihat paramedik terpaksa memberikannya bantuan pernafasan (CPR). Keadaan stadium sunyi sepi menantikan keadaan Eriksen pada ketika itu.

Sebentar tadi, Eriksen telah dibawa keluar dari padang oleh paramedik untuk menerima rawatan lanjut. Doktor yang memberikannya rawatan awal ada memberikan isyarat ‘okay’ kepada kamera.

Sementara itu, perlawanan di antara kedua-dua pasukan turut ditangguhkan.

komen