Written by 11:26 pm Bola Sepak, Eropah

Rating Sukanz: Phillips Nadi Utama England Tumpaskan Croatia Di Wembley

England dan Croatia bertemu pada malam ini untuk aksi pembukaan Kumpulan D bagi saingan Euro 2020 di Stadium Wembley.

Pertemuan ini merupakan perlawanan ulangan separuh akhir Piala Dunia 2018 yang ketika itu dimenangi oleh Croatia dengan jaringan 2-1 selepas bermain selama 120 minit.

Akan tetapi, England yang bermain di halaman sendiri kali ini berjaya membalas dendam dengan mencatatkan kemenangan 1-0 ke atas Croatia hasil jaringan pemain sayap lincah, Raheem Sterling.

Berikut adalah rating pemain-pemain England ketika menentang Croatia sebentar tadi:

Penjaga Gol: Jordan Pickford – 7/10

Memandangkan Croatia tidak begitu berjaya memasuki kotak penalti England, Pickford tidak berdepan dengan bola yang berbahaya daripada para pemain Croatia. Mudah buatnya mendapatkan ‘clean sheet’ pada malam ini.

Pertahanan: Kyle Walker – 5/10

Persembahan yang tidak begitu baik pada separuh masa pertama. Ada sedikit ketidaksefahaman bersama sayap kanan, Phil Foden. Begitu juga dengan pertahanan tengah, Stones. Bagaimanapun, dia menampilkan aksi yang lebih baik pada babak kedua. 

Pertahanan: John Stones – 7/10

Membentuk keserasian yang baik bersama Mings. Tidak mempunyai masalah yang besar untuk mengekang serangan-serangan daripada Croatia. 

Pertahanan: Tyrone Mings – 7/10

Menjadi ‘last man’ England. Serasi bertahan bersama John Stones. Turut menjadi titik permulaan kepada binaan permainan England daripada bawah. 

Pertahanan: Kieran Trippier – 7/10

Sebagai bek kanan yang ditugaskan untuk bermain di posisi bek kiri, persembahannya boleh dipuji dalam perlawanan ini. Tidak mudah pemain lawan melepasinya dan dia turut naik ke atas untuk membantu pasukan melakukan serangan. 

Pemain Sayap: Raheem Sterling – 8/10

Kelincahan dan kelajuan dimilikinya digunakan untuk menembusi barisan pertahanan Croatia. Sterling juga muncul sebagai penjaring gol tunggal dalam perlawanan ini. 

Pemain Tengah: Kalvin Phillips – 8/10

Nadi tengah pasukan England pada malam ini. Kelibat Phillips sentiasa kelihatan tidak kiralah dalam situasi England bertahan atau melakukan serangan. Larian bijak yang dilakukannya memberikan ‘assist’ untuk gol Raheem Sterling.

Pemain Tengah: Declan Rice – 6.5/10

Bermain sedikit ke bawah dan kurang kelihatan kelibatnya di atas padang. Dia lebih banyak membantu England ketika bertahan.

Pemain Sayap: Phil Foden – 6.5/10

Sentiasa cuba untuk melepasi pertahanan Croatia menerusi bahagian kanan dan satu percubaannya pada babak pertama menggegar tiang. Bagaimanapun, dia kurang mendapat sokongan daripada Walker. Dikeluarkan pada minit ke-71.

Pemain Tengah: Mason Mount – 6/10

Mason Mount diturunkan untuk bermain di belakang penyerang, Harry Kane. Dia menampilkan persembahan yang rajin namun sukar untuknya melorongkan bola kepada bahagian serangan.

Penyerang: Harry Kane – 6/10

Acap kali turun ke bawah untuk membantu serangan namun disebabkan itu, England sering hilang ‘targetman’ di dalam kotak penalti. Pada masa yang sama, Kane juga tidak mendapat suapan bola yang banyak dan baik di dalam atau berdekatan kotak penalti.

Pemain Gantian 1: Marcus Rashford – N/A

Masuk minit ke-71 menggantikan Phil Foden. Tidak banyak yang disumbangkannya di atas padang.

Pemain Gantian 2: Jude Bellingham – N/A

Masuk pada minit ke-82 menggantikan Harry Kane. 

Pemain Gantian 3: Dominic Calvert-Lewin – N/A

Masuk pada minit ke-90 menggantikan Raheem Sterling.

Bagaimana pula dengan rating anda? Boleh tinggalkannya di ruang komen media sosial Sukanz.

Featured Image: England Football Team

(Visited 153 times, 1 visits today)
Close