Artikel

Lee Tuck Punca Habib Haroon Pilih No.88 Bersama Terengganu

Pemain kelahiran England, Lee Tuck menjadi sebab pemain tengah baharu, Habib Haroon memilih jersi bernombor 88 bersama pasukan Terengganu.

Habib mengakui tidak pernah menggunakan nombor 88 dalam kariernya setakat ini namun melihatkan ‘keunikan’ Lee Tuck mengenakan jersi yang mempunyai digit berturutan iaitu No.77 membuatkannya ingin mencuba sesuatu yang baharu bersama pasukan ini.

“Beliau bakal menyarung jersi bernombor 88 dan menyatakan ianya sebenarnya bukan nombor yang dipakainya sebelum ini di pasukan lama,” 

“Tetapi beliau terlihat di gambar ada seorang pemain Terengganu FC yang memakai jersi 77 (Lee Tuck) dan beliau sangat tertarik dan ingin mencuba untuk mengenakan nombor berturutan seperti itu.” kata kenyataan yang dikeluarkan oleh kelab.

Habib diperkenalkan sebagai pemain import baharu skuad berpangkalan di pantai timur secara rasmi menerusi makluman pelbagai media sosial milik pasukan Terengganu, pada hari ini.

Difahamkan, Habib merupakan pemain import termuda yang pernah ditandatangani oleh Terengganu.

Kehadirannya untuk menggantikan pemain import kuota asia, Chris Herd yang terpaksa dilepaskan ekoran kecederaan yang memerlukan tempoh penyembuhan yang agak lama.

Ketua jurulatih, Nafuzi Zain pula melihat pemain versatil ini bukan sahaja akan memanfaatkan bahagian tengahnya malah akan membantu bahagian serangan kerana kemampuannya untuk menjaringkan gol dari pelbagai jarak.

Untuk makluman, selain daripada Habib, tiga pemain lain turut menyarung jersi dengan nombor yang sama dalam saingan Liga Super musim ini.

Mereka ialah pemain tengah Selagor, Brendan Gan, pemain tengah Sri Pahang, Manuel Hidalgo dan penjaga gol Penang, Bryan See Tian Keat.

Brendan Gan & Manuel Hidalgo
Bryan See Tian Keat

Featured Image: Terengganu FC

komen