Written by 6:55 am Bola Sepak, Eropah

Euro 2020: Sepanyol Pegang 75% Penguasaan, Lakukan 954 Hantaran Tetapi 0 Gol

Malang buat Sepanyol yang menampilkan aksi penuh bertenaga dengan menguasai hampir keseluruhan permainan namun gagal menjaringkan sebarang gol ketika menentang Sweden pada aksi peringkat Kumpulan E, saingan Euro 2020, awal pagi tadi.

Perlawanan yang berlangsung di Stadium La Cartuja, Sevilla, Sepanyol ini berkesudahan dengan keputusan seri tanpa sebarang jaringan.

Menurut statistik, skuad La Roja bimbingan Luis Enrique mendominasi permainan dengan merekodkan penguasaan bola sebanyak 75% serta melakukan 954 hantaran secara keseluruhan.

Bukan itu sahaja, sebanyak 852 daripada 954 hantaran dapat disempurnakan oleh pemain-pemain Sepanyol dalam perlawanan tersebut. Ini menjadikan Sepanyol merekodkan peratusan ketepatan hantaran setinggi 89%.

Sebagai perbandingan, 954 hantaran dan 852 hantaran berjaya disudahkan daripada satu perlawanan yang dilalui itu merupakan yang tertinggi direkodkan berbanding pasukan-pasukan lain.

Pasukan Belgium dan Belanda yang mengekori mereka di tangga kedua dan ketiga hanya merekodkan 722 dan 688 hantaran secara keseluruhan. Daripada segi hantaran yang berjaya disudahkan, kedua-dua negara ini merekodkan 647 dan 617 hantaran sahaja.

Daripada segi statistik serangan, Sepanyol merekodkan 17 percubaan secara keseluruhan. 5 daripadanya tepat ke sasaran manakala 8 percubaannya tersasar. Sementara itu, baki 4 percubaan mereka berjaya dihadang oleh pemain pasukan lawan.

Bukan itu sahaja, Sepanyol turut meraih 6 sepakan penjuru namun tiada satu daripadanya dapat dijelmakan sebagai gol.

Pada pendapat anda, apa masalah yang dihadapi oleh juara Euro sebanyak tiga kali ini?

Featured Image: Seleccion Espanola de Futbol

(Visited 85 times, 1 visits today)
Close