Written by 2:20 pm Bola Sepak, Eropah

Euro 2020: Paul Pogba Alih Botol Minuman Keras Semasa Sidang Media

Jika sebelum ini Cristiano Ronaldo mencuri tumpuan dunia apabila mengalihkan minuman berkarbonat, Coca-Cola semasa berlangsungnya sidang media, kini giliran pemain tengah Perancis, Paul Pogba pula berbuat tindakan yang sama.

Terdahulu, pemenang Ballon d’Or sebanyak lima kali itu bertindak mengalihkan botol minuman Coca-Cola tersebut kemudiannya mengangkat botol air mineral di hadapannya dan menyeru semua untuk minum air kosong.

Bagaimanapun, Pogba yang dinobatkan selaku ‘Man Of The Match’ dalam perlawanan antara Perancis dan Jerman dalam saingan Kumpulan F Euro 2020 tidak mengalihkan botol Coca-Cola sebaliknya sebotol minuman keras dalam sidang media selepas perlawanan yang berlangsung awal pagi tadi.

Tiada sebarang komen diberikan oleh pemain berusia 28 tahun tersebut samada melakukan tindakan demikian atas alasan kesihatan atau faktor agamanya sebagai seorang muslim yang melarang meminum atau mempromosikan sebarang minuman keras.

Untuk makluman, dalam perlawanan tersebut, Pogba menjadi nadi utama bahagian tengah skuad Les Bleus. Malahan jaringan tunggal perlawanan yang dijaringkan sendiri oleh pemain lawan, Mats Hummels pada minit ke-20 juga berpunca daripadanya.

Ketika itu, Pogba melakukan satu ‘lob pass’ cantik menggunakan bahagian luar kaki kanannya (outer foot) ke bahagian kiri untuk Lucas Hernandez sebelum pemain berjersi 21 itu melakukan hantaran lintang mencari Kylian Mbappe.

Malangnya, Hummels yang cuba mengeluarkan bola tersebut tersilap menampannya ke dalam gawang.

Anda boleh menonton highlight penuh perlawanan antara Perancis dan Jerman pada pautan di bawah:

(Visited 172 times, 1 visits today)
Close