Written by 3:44 pm Bola Sepak, Malaysia

Muhammad Idolakan Shukor Adan Semenjak di Sekolah Sukan Bukit Jalil

Pertahanan tengah Terengganu, Muhammad Mohd Faudzi menjadikan bekas pertahanan skuad kebangsaan dan pemain Kuala Lumpur City (KL City), Shukor Adan sebagai idolanya.

Muhammad atau lebih dikenali sebagai Amad memaklumkan dia bukan sahaja meminati cara permainan Shukor sebagai pertahanan tengah bahkan karakter seorang ketua yang berkarisma di atas padang turut dijadikan contoh ikutan buatnya.

Ketika menyertai skuad Piala Presiden Felda United pada tahun 2015, Amad berpeluang untuk berlatih bersama-sama idolanya dan kesempatan tersebut menjadi salah satu pengalaman yang mahal dalam karier bola sepaknya.

Shukor Adan

“Saya sangat suka tengok cara Shukor Adan dan kalau boleh mahu mengikut jejak langkah dia sebagai seorang pemain pertahanan tengah yang hebat serta ada karakter tersendiri sebagai seorang ketua di atas padang.

“Masa di Sekolah Sukan Bukit Jalil lagi saya sudah meminati Shukor dan selepas saya mendapat peluang menyertai skuad Piala Presiden Felda pada 2015, saya berpeluang berlatih bersama Shukor dalam pasukan utama yang ketika itu dilatih jurulatih, Irfan Bakti.

“Masa itu saya baharu berumur 19 tahun dan apabila dapat berlatih dengan pemain-pemain hebat seperti Shukor, ia satu perasaan yang tidak digambarkan dan banyak yang saya belajar darinya memandangkan dia pun seorang pemain pertahanan tengah,” katanya.

Musim ini, Amad telah menjadi taruhan utama di bahagian pertahanan tengah pasukan Terengganu sebanyak 8 kali untuk bergandingan bersama kapten, Carli de Murga.

Persembahan Amad yang paling mencuri tumpuan hadir ketika menentang pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.

Dalam perlawanan tersebut, Amad menjadi watak penting dalam memastikan barisan pertahanan skuad Nafuzi Zain itu tidak dibolosi sekaligus membolehkan Terengganu menamatkan permainan dengan keputusan 1-0 tanpa bolos.

Featured Image: Terengganu FC

(Visited 935 times, 1 visits today)
Close