Written by 4:59 pm Asia, Bola Sepak, Malaysia

Kenali Penyerang Liga M3, Patrick Asare Yang Menghampiri Pentas ACL 2021

Bekas penyerang beberapa buah pasukan yang beraksi dalam saingan divisyen ketiga bola sepak Malaysia, Liga M3 iaitu Patrick Asare hanya selangkah sahaja lagi sebelum membuat penampilan di kejohanan berprestij asia, Liga Juara-Juara AFC (ACL).

Penyerang berusia 26 tahun ini semestinya tidak begitu dikenali dalam kalangan majoriti peminat bola sepak Malaysia. Manakan tidaknya, dia tidak pernah beraksi langsung bersama mana-mana pasukan Liga Super mahupun Liga Premier.

Kisahnya beraksi dalam saingan bola sepak Malaysia bermula pada tahun 2019. Ketika itu, Patrick menyertai kejohanan pramusim, Community Challenge Cup bersama Shah Alam Antlers. Dia sempat beraksi sebanyak dua kali bersama pasukan yang berpangkalan di Stadium Panasonic tersebut.

Bagaimanapun, disebabkan masalah melibatkan Sijil Perpindahan Antarabangsa (ITC), Patrick tidak dapat berkhidmat bersama Shah Alam Antlers sebaliknya menyertai pasukan amatur yang beraksi dalam saingan liga di negeri Selangor, NPNG FC.

Patrick Asare ketika beraksi bersama JBFA pada tahun 2019.

Pada tahun yang sama, khidmat Patrick diintai oleh Persatuan Bola Sepak Johor Bahru (JBFA) untuk beraksi dalam saingan Liga M3. Menurut laman Transfermarkt, Patrick menyertai pasukan tersebut bermula Julai 2019 dan bermain sehingga ke penghujung musim.

Tahun berikutnya, Patrick menyertai Semarak FC namun saingan Liga M3 2020 terpaksa dibatalkan ekoran pandemik covid-19 yang mula mengganas melanda dunia pada saat itu. Disebabkan pandemik ini, Patrick tidak dapat bermain bola sepak profesional selama setahun.

Patrick ketika meraikan gol bersama rakan sepasukan ketika bersama Semarak FC pada tahun 2020

Ditipu Ejen Palsu Untuk Menyertai Pasukan Besar di Malaysia

Pemain kelahiran Accra, Ghana ini memulakan kerjaya bola sepak profesional bersama kelab berpangkalan di tanah airnya, namun ketika dia berusia 19 tahun, Patrick mendapat tawaran lumayan untuk menyertai sebuah pasukan yang berprestij di Malaysia.

Malangnya, setelah tibanya di Malaysia, Patrick mendapati tawaran tersebut hanyalah sebuah penipuan yang dibuat oleh ejen palsu. Terpinga-pinga dirinya di sebuah negara asing tanpa saudara mara dan rakan-rakan dalam keadaan tidak mengetahui sepatah perkataan bahasa Melayu apatah lagi tempat-tempat di Malaysia.

Bagaimanapun, Patrick dibantu oleh insan-insan yang baik hati untuk mendapatkan visa pelajar dan menyambung pelajarannya dalam bidang Pengurusan Sukan yang memfokuskan kepada bola sepak.

Bukan itu sahaja, dia berjaya menamatkan pengajian ijazahnya di United Kingdom pada tahun 2016.

Untuk pengetahuan semua, sebelum beraksi bersama pasukan yang berpangkalan di Malaysia pada tahun 2019, Patrick sempat berkelana di Liga Myanmar bersama pasukan-pasukan seperti Zwekapin United, Yadanarbon FC dan Shan United sekitar tahun 2016 sehingga 2018.

Sinar Baharu Buat Patrick Dalam Karier Bola Sepak

Patrick Asare diumumkan sebagai pemain baharu Kaya FC

Awal April lalu, Patrick diumumkan sebagai penyerang baharu pasukan yang berpangkalan di Filipina, Kaya FC. Kehadirannya untuk menambahkan sengat Kaya FC dalam mengharungi saingan domestik dan kejohanan antarabangsa.

Malam ini pasukannya, Kaya FC akan turun menentang wakil Liga Super China, Shanghai Port FC dalam saingan playoff ACL di Stadium Pathum Thani, Bangkok. Pemenang aksi playoff ini akan menyertai BG Pathum United, Ulsan Hyundai dan Viettel FC dalam Kumpulan F.

Featured Image: Shah Alam Antlers

(Visited 256 times, 1 visits today)
Close