Written by 2:21 pm Asia, Bola Sepak, Malaysia

Piala AFC: Venue Bagi Terengganu & Kedah Akan Dimuktamadkan Minggu Hadapan

Barisan Exco Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) akan memuktamadkan venue saingan Piala AFC bagi Kumpulan H dan I selewat-lewatnya pada minggu hadapan.

Menurut Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor Paul John berkata pihak Jawatankuasa Pertandingan AFC telah membuat keputusan mengenai venue terbabit namun Exco AFC perlu bermesyuarat untuk mengambil kira pelbagai faktor sebelum memuktamadkannya.

Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor Paul John – Foto: AFC

“Pihak jawatankuasa pertandingan telah pun membuat keputusan dan seperti biasa keputusan berkenaan akan diserahkan kepada pihak Exco AFC untuk dimuktamadkan.

“Pada kebiasaannya, keputusan muktamad daripada pihak Exco AFC akan diketahui dalam tempoh seminggu setelah menerima keputusan daripada pihak jawatankuasa pertandingan.

“Sebarang keputusan muktamad juga akan dibuat setelah mengambil kira pelbagai faktor daripada semua pihak,” katanya seperti dipetik daripada Sinar Harian.

Hujung Mei lalu, Singapura yang sepatutnya menjadi tuan rumah bagi Kumpulan H dan I dalam saingan Piala AFC mengumumkan menarik diri sebagai hos kerana peningkatan kes pandemik Covid-19 di negara republik tersebut.

Keputusan itu membuatkan dua wakil Malaysia yang bersaing dalam kancah Piala AFC iaitu Kedah Darul Aman (Kumpulan H) dan Terengganu (Kumpulan I) tertanya-tanya mengenai status kejohanan tersebut.

Featured Image: AFC Cup

(Visited 244 times, 1 visits today)
Close