Written by 3:26 pm Bola Sepak, Malaysia

Kerteh FC Usahakan ‘Kerteh Soccer School’ Untuk Bangunkan Pemain Utama Kelab Pada Masa Hadapan

Kelab komuniti berpangkalan di Terengganu, Kelab Bola Sepak Kerteh (Kerteh FC) mensasarkan Kerteh Soccer School dapat membangunkan pemain yang berbakat menerusi ‘Pathway Programme Kerteh FC’ untuk dijadikan pemain utama pasukannya pada masa hadapan.

Untuk mencapai hasrat tersebut, pasukan yang dikenali sebagai The Oilers ini merancang untuk menambah 5 cawangan Kerteh Soccer School di beberapa buah lokasi seperti di Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak dalam tempoh 3 hingga 5 tahun akan datang.

Menerusi perancangan yang akan dijalankan itu, Kerteh FC berharap dapat membesarkan ‘talent pool’ dengan memiliki 500 orang pelatih dari pelbagai peringkat umur dalam tempoh tersebut.

“Kerteh Soccer School merupakan sebahagian daripada ‘Pathway Programme’ Kerteh FC. Terdapat beberapa kategori peringkat umur dari U8 hingga U16.”

“Ianya bertujuan bagi membesarkan ‘talent pool’ kelab.” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kerteh FC, Syed Khairi Amier kepada Sukanz.

Pada ketika ini, The Oilers telah mempunyai Kerteh Soccer School di tempatnya sendiri di Kerteh, Kemaman. Ianya terbuka kepada ibu bapa yang berminat untuk menghantar anak-anak mereka seawal 5 tahun bagi menjalani latihan awal bola sepak.

Foto: Kerteh FC

“Yuran pendaftaran RM 150.00 dan yuran bulanan RM 50.00. Ini kadar (yuran) di Kerteh, (cawangan) di luar nanti bergantung kos operasi kami.” tambahnya lagi.

Pada masa yang sama, Syed Khairi sedia maklum bahawa Malaysia sudah mempunyai program pembangunan suka bola sepak di peringkat akar umbi iaitu Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP). Bagaimanapun, beliau berpandangan kehadiran Kerteh Soccer School ini boleh menjadi alternatif kepada program tersebut.

“NFDP, AMD, PLD dan Kerteh Soccer School ini boleh juga melengkapi antara satu sama lain kerana platform kami ini, mungkin juga boleh menjadi alternatif kepada mana-mana ‘talent’ yang tidak mendapat peluang di NFDP.” jelasnya.

Untuk pengetahuan semua, Kerteh FC bersaing dalam kancah divisyen keempat bola sepak negara iaitu Liga M4 dalam saingan Terengganu Amateur League (TAL). Musim 2019 menyaksikan The Oilers berjaya merangkul kejuaraan berganda dengan memenangi kejuaraan Liga TAL dan Piala TAL.

Featured Image: Kerteh FC

(Visited 289 times, 1 visits today)
Close