Written by 6:02 pm Bola Sepak, Malaysia

Nidzam Jamil Belum Bersedia Bimbing Skuad Harimau Muda

Jurulatih muda, Nidzam Jamil menyatakan dirinya belum bersedia untuk memegang jawatan ketua jurulatih Malaysia Bawah 23 Tahun (B-23) atau lebih dikenali sebagai skuad Harimau Muda.

Bekas pemain Selangor yang memulakan karier kejurulatihan bersama SPA FC ini menegaskan mahu menimba lebih banyak pengalaman sebelum mengambil tanggungjawab melibatkan skuad kebangsaan.

Pada saat ini, posisi ketua jurulatih skuad Malaysia B-23 masih lagi belum diisi selepas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak menyambung kontrak pengendali skuad Harimau Muda sebelum ini, Datuk Ong Kim Swee yang tamat pada penghujung tahun 2019.

Tangkap layar sesi sembang Nidzam Jamil bersama @thejoezakaria

“Saya belum bersedia untuk national team task, walaupun saya pernah bersama national team task dalam program universiti, saya suka program tu tetapi saya (lebih) suka cabaran pada setiap minggu (saingan liga),”

“Saya kena belajar banyak perkara supaya saya tiada alasan untuk tidak menjadi sebabnya ini adalah national team.” kata jurulatih berusia 41 tahun ini ketika ditanya seandainya diberikan tawaran untuk mengendalikan skuad Harimau Muda dalam sesi sembang bersama Joe Zakaria menerusi Instagram Live, semalam.

Pada masa yang sama, beliau yang tidak membimbing mana-mana pasukan senior dalam kancah bola sepak profesional tempatan pada musim ini sedang mengintai peluang untuk mengembangkan kariernya di luar negara.

“Saya sebenarnya tengah cari peluang untuk bekerja dekat luar (negara),” jelasnya sambil mengakui bukan mudah buat pasukan-pasukan luar mempertaruhkan kepercayaan kepada jurulatih-jurulatih Malaysia untuk membimbing pasukan mereka.

Foto: Instagram Nidzam Jamil

Untuk pengetahuan semua, walaupun tidak lagi membimbing skuad senior Felda United dalam kancah bola sepak Malaysia, Nidzam masih lagi mempunyai kontrak bersama Felda.

Namun begitu, pada masa ini, Nidzam ditugaskan untuk membimbing pemain-pemain muda dalam Program Pembangunan Akademi Bolasepak Felda 2021.

Featured Image: Malaysian Football League

(Visited 89 times, 1 visits today)
Close