Written by 4:39 pm Bola Sepak, Eropah

“Ada Ketikanya Perancis Sangat Sombong” – Penjaga Gol Switzerland

Penjaga gol Switzerland, Yann Sommer melihat ada masanya juara Piala Dunia 2018, Perancis tampil sangat sombong ketika beraksi di atas padang menentang pasukannya pada aksi pusingan ke-16 saingan Euro 2020, awal pagi tadi.

Perlawanan yang berlangsung di Arena National, Bucharest itu menyaksikan Switzerland terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi Haris Seferovic pada minit ke-15.

Bagaimanapun, skuad Les Bleus yang dibimbing oleh Didier Deschamps berhasil bangkit pada babak kedua menerusi dua jaringan oleh Karim Benzema pada minit ke-57 dan ke-59 sebelum Paul Pogba menambah satu jaringan lagi pada minit ke-75 untuk meletakkan Perancis selesa mendahului 3-1.

Kesebelasan utama Perancis ketika turun menentang Switzerland

Namun tiada yang menyangka, dengan masa permainan yang berbaki 15 minit sahaja lagi, Switzerland bangkit menjaringkan dua gol menerusi Seferovic pada minit ke-81 dan Mario Gavranovic pada minit ke-90 untuk mengheret Perancis ke penentuan sepakan penalti.

“Saya sangat berbangga dengan pasukan dan kami berjaya lakukannya,”

“Sangat indah untuk melihat (kemenangan) ini di hadapan ibu bapa saya.”

“Kami bermain menentang pasukan yang luar biasa tetapi ada ketikanya mereka sangat sombong dan kami berkata kepada diri sendiri yang kami akan teruskan ke penghujung.” katanya kepada SRF seperti dipetik oleh Goal.

Switzerland berhasil melangkah ke peringkat suku akhir selepas berjaya menumpaskan Perancis 5-4 pada penentuan sepakan penalti apabila bola sepakan Kylian Mbappe berjaya ditepis oleh Sommer.

“Ia malam yang luar biasa untuk bola sepak, kami menunjukkan mentaliti yang besar, hati yang besar, menambah dua gol menentang juara dunia, dalam keadaan semangat kami sedikit luntur.”

“Saya sangat berbangga dengan pasukan ini. Ketika 3-1 (Perancis mendahului), tiada orang yang percayakan kami lagi, tetapi sebelum perlawanan kami telah berkata kepada diri sendiri walau apa terjadi, walau apa senario, kami akan (berjuang) sampai ke penghujung.” katanya lagi.

Untuk pengetahuan semua, ini merupakan kali pertama Switzerland melangkah peringkat suku akhir kejohanan Euro sejak ia dipertandingkan bermula tahun 1960.

Menanti mereka di saingan suku akhir adalah juara Euro 2012, Sepanyol yang menundukkan Croatia 5-3 pada peringkat pusingan ke-16, semalam.

Featured Image: Euro 2020

(Visited 106 times, 1 visits today)
Close