Written by 12:18 am Asia, Bola Sepak, Malaysia • One Comment

Rating Sukanz: Tindakan Kurang Cermat Di Dalam Kotak Punca JDT Tumpas Kepada Pohang Steelers

Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) mengalami kekalahan besar 4-1 kepada wakil Republik Korea, Pohang Steelers dalam aksi ketiga peringkat Kumpulan G saingan Liga Juara-Juara AFC (ACL) 2021.

Lebih malang, kekalahan skuad yang terkenal dengan julukan Harimau Selatan tewas disebabkan oleh tindakan kurang cermat pemain yang menghadiahkan 3 sepakan penalti daripada Pohang. Hanya satu gol terhasil daripada permainan terbuka mereka.

Keempat-empat gol tersebut dengan mudahnya memadam gol awal yang dijaringkan oleh pemain tengah kelahiran Argentina, Leandro Velazquez pada awal babak permainan iaitu sekitar minit ke-17 permainan.

Kekalahan JDT pada perlawanan ini menyebabkan mereka tergelincir ke tangga ketiga Kumpulan G.

Berikut adalah rating pemain-pemain JDT ketika beraksi menentang Pohang Steelers di Stadium Rajamangala, sebentar tadi:

Kesebelasan utama JDT ketika turun menentang Pohang Steelers

GK: Farizal Marlias – 5/10

Boleh dikatakan Farizal beraksi dengan baik tetapi malangnya dia terpaksa akur bolos 4 gol dalam perlawanan ini. Bagaimanapun, 3 daripada 4 gol tersebut merupakan jaringan daripada sepakan penalti manakala satu daripadanya hasil kesilapan barisan pertahanan yang gagal melakukan perangkap ofsaid.

DF: Azrif Nasrulhaq – 4.5/10

Tugasan defensifnya boleh dipuji namun tidak banyak membantu daripada segi serangan. Keluar pada minit ke-86.

DF: Shane Lowry – 5/10

Agak kental dalam mengekang asakan oleh pemain lawan dan turut memainkan peranan dalam melakukan bola hantaran jauh mencari rakan sepasukan di atas.

DF: Mauricio – 4.5/10

Menjadi hero dengan melakukan hadang awal terhadap percubaan Pohang. Namun terjahan lewatnya menyebabkan Pohang mendapat penalti pada minit ke-32. 

DF: Matt Davies – 4.5/10

Matt berjaya melakukan 2 hantaran lintang ketika naik untuk membantu serangan. Akan tetapi, kealpaannya menyebabkan perangkap ofsaid tidak menjadi dan memberikan Pohang gol ketiga. Matt juga menyebabkan Pohang diberikan sepakan penalti pada minit ke-90.

MF: Natxo Insa – 6.5/10

Struggle pada babak pertama, dijaga kemas oleh pemain lawan. Tampil lebih agresif pada separuh masa kedua namun tidak banyak yang mampu dilakukannya untuk menguasai bahagian tengah padang. Keluar pada minit ke-86.

MF: Afiq Fazail – 4.5/10

Persembahan Afiq pada babak pertama agak tenggelam. Separuh masa kedua, dia menunjukkan peningkatan terlibat dalam permainan. Afiq keluar minit ke-69.

MF: Safiq Rahim – 6/10

Rajin sepanjang permainan dengan naik dan turun ke bawah untuk dapatkan bola dan bantu bahagian serangan. Keluar pada minit ke-79.

MF: Leandro Velazquez – 6.5/10

Menjaringkan gol pembukaan buat JDT hasil inisiatifnya untuk pressing dan membuat percubaan. Separuh masa kedua, kelibatnya lebih terserlah. Sayang sekali sedikit sentuhan daripadanya menyebabkan Pohang mendapat sepakan penalti.

MF: Arif Aiman – 6.5/10

Babak pertama persembahannya kurang menyerlah namun memasuki babak kedua aksi Arif mula memberikan ancaman kepada Pohang dengan cubaannya memainkan bola di sisi padang dan membawa bola ke dalam kotak penalti. Keluar pada minit ke-79.

FW: Bergson da Silva – 5/10

Dia agak rajin untuk turun ke bawah untuk membantu membina serangan namun agak naif daripada segi percubaan ke arah gol dalam perlawanan ini. Ada ketikanya sedikit tamak kerana tidak membuat hantaran kepada rakan sepasukan yang mempunyai peluang yang lebih terbuka.

Pemain Gantian 1: Mohamadou Sumareh – 4/10

Dimasukkan pada minit ke-69 menggantikan Afiq Fazail untuk beraksi di posisi sayap kanan. Kemasukannya menghidupkan bahagian kanan namun tiada ancaman berbahaya diberikannya.

Pemain Gantian 2: Ramadhan Saifullah – n/a

Masuk minit ke-79 dan beraksi di posisi sayap kiri menggantikan Arif Aiman.

Pemain Gantian 3: Nazmi Faiz – n/a

Masuk minit ke-79 menggantikan Safiq Rahim.

Pemain Gantian 4: Syamer Kutty – n/a

Masuk pada minit ke-86 dan tidak banyak yang mampu dilakukannya.

Pemain Gantian 5: Guilherme de Paula – n/a

Masuk pada minit ke-86 dan tidak banyak sumbangan yang dilakukannya.

Featured Image: JOHOR Southern Tigers

(Visited 329 times, 1 visits today)
Close