Artikel

Selepas Cetak 3 Gol & 3 Assist, Sabah Lanjut Kontrak Saddil Hingga November 2022

Selepas mempamerkan aksi yang memberangsangkan bersama Sabah dengan mencetak 3 gol serta 3 bantuan gol, pemain sayap lincah kelahiran Indonesia, Saddil Ramdani diberikan kontrak lanjutan oleh majikannya.

Lanjutan kontrak kepada pemain berusia 22 tahun tersebut diumumkan sendiri oleh Sabah menerusi pelbagai plaform laman sosialnya, pada hari ini.

Saddil semasa menandatangani lanjutan kontrak bersama Sabah

Selain daripada Saddil, pasukan yang dibimbing oleh Kurniawan Dwi Yulianto ini turut mengumumkan lanjutan kontrak terhadap dua pertahanan tempatan iaitu Randy Baruh dan Alto Linus. 

“Tiga pemain Sabah, Saddil Ramdani, Randy Baruh dan Alto Linus menandatangani pelanjutan kontrak sehingga November 2022.”

“Berdasarkan daripada prestasi didalam dan diluar padang, pihak pengurusan sangat berpuas hati dengan komitmen yang diberikan oleh ketiga-tiga pemain ini.” tulis kenyataan kelab menerusi laman sosial mereka.

Randy dan Alto ketika menandatangani kontrak lanjutan bersama Sabah.

Sejak berhijrah menyertai Sabah daripada Bhayangkara FC, Saddil perlahan-lahan menarik perhatian para penyokong dengan persembahannya di atas padang.

Bersama Sabah, dia dilihat mempunyai persefahaman dan keserasian yang cukup baik di bahagian serangan terutamanya bersama pemain veteran, Amri Yahyah dan pemain tengah berasal dari Gabon, Levy Madinda.

Saddil bersama rakan sepasukannya di Sabah

Kelibatnya telah membantu Sabah yang bergelut pada awal musim menjarakkan diri daripada zon penyingkiran. Ketika ini, Sabah selesa menduduki tangga ketujuh saingan Liga Super selepas menempuh 13 perlawanan.

Sementara itu, pihak pengurusan turut memaklumkan mereka merancang untuk menandatangani perlanjutan kontrak bersama beberapa lagi pemain dalam masa terdekat. 

Featured Image: Malaysian Football League

komen