Artikel

Euro 2020: Sebenarnya Jack Grealish Mahu Rembat Terus Ke Arah Gawang

Pemain Aston Villa, Jack Grealish secara berseloroh memberitahu ingin melakukan rembatan terus ke arah gawang setelah mendapat lorongan daripada Luke Shaw ketika menentang Jerman, semalam.

Bagaimanapun dia menyedari kelibat penyerang utama, Harry Kane yang berada di dalam kotak dan pemain berusia 26 tahun itu dengan bijaknya melakukan hantaran lintang.

Hantaran tersebut disudahkan dengan bergaya oleh Kane pada minit ke-86 untuk memastikan kemenangan 2-0 England pada peringkat pusingan ke-16 sekaligus mengesahkan tempat ke saingan suku akhir Euro 2020. 

“Apabila peluang itu hadir akhirnya, setelah Luke hantar bola kepada saya, saya mahu lakukan rembatan!

“Saya lihat H di dalam kotak jadi sudah tentu saya lakukan hantaran lintang kepadanya.” katanya seperti dipetik daripada Birmingham Mail.

Harry Kane meraikan gol kedua England bersama Jack Grealish

Jack yang masuk sebagai pemain gantian pada minit ke-69 menjadi pengubah perlawanan ketika menentang anak-anak buah Joachim Low.

Selain daripada mencipta ‘assist’ untuk jaringan kedua England, Jack turut menjadi arkitek kepada jaringan pembukaan skuad Three Lions yang disudahkan oleh Raheem Sterling pada minit ke-75.

Sebelum masuk ke dalam padang, Jack turut berkongsikan arahan daripada pengurus England, Gareth Southgate yang mengarahkannya untuk bermain secara kebiasaan dia bermain pada sebelum ini.

“Saya lakukannya dan saya bertuah dapat cipta (peluang) untuk menjaringkan salah satu gol.” katanya lagi.

Saksikan sorotan perlawanan antara England menentang Jerman di Stadium Wembley pada pautan di bawah:

komen