Written by 6:04 pm Bola Sepak, Malaysia

Negeri Sembilan Ambil Khidmat Arthur Kerana Mampu Memahami Bahasa Melayu

Skuad Liga Premier, Negeri Sembilan membuat keputusan untuk mendapatkan khidmat pemain import yang telah lama beraksi di Indonesia, Arthur Cunha kerana memiliki kelebihan untuk memahami bahasa melayu.

Ketua jurulatih Negeri Sembilan, K. Devan menjelaskan kelebihan yang dimiliki oleh pemain kelahiran Brazil itu dapat membantunya untuk berkomunikasi dan mengawal bahagian bawah serta di benteng pertahanan bersama rakan sepasukan dengan lebih berkesan.

Menurut Devan lagi, masalah komunikasi antara pertahanan import sebelum ini, Fernando Barbosa dan rakan sepasukan yang lain menyebabkan tiada ‘leadership’ di bahagian pertahanan skuad Hoben Jang Hoben.

Ketua jurulatih Negeri Sembilan, Arthur Cunha

“Kita buat pertukaran di pertahanan tengah kerana nampak di pusingan awal, Fernando Barbosa ini kurang berkomunikasi dengan pemain yang lain serta persefahaman tidak mencapai seperti mana yang kita harapkan.

“Tujuan kita mahu mendapatkan pemain import di pertahanan adalah untuk mengawal bahagian bawah serta menjadi ketua kepada semua pemain di benteng, kedua-dua fungsi ini tidak dapat dijalankan oleh Fernando.

“Jadi, kami mengambil Arthur Cunha yang telah lama berada di Indonesia dan mampu memahami bahasa Melayu kerana boleh bertutur bahasa Indonesia malah dia seorang yang mampu bergaul dengan baik dengan pemain tempatan.” kata K. Devan.

Arthur diperkenalkan secara rasmi pada penghujung Mei lalu.

Arthur diikat oleh Negeri Sembilan ketika jendela perpindahan pertengahan musim yang dibuka sepanjang bulan Mei lalu.

Untuk makluman, pertahanan yang berusia 31 tahun ini telah berkelana dalam saingan Liga Indonesia sejak tahun 2015 lagi.

Antara pasukan yang pernah disertainya di sana ialah Mitra Kukar, Arema FC dan Persipura Jayapura.

Ketika ini, Negeri Sembilan yang dibimbing oleh K. Devan sedang menduduki tangga kedua Liga Premier selepas mengharungi 11 perlawanan. 

Kehadiran Arthur pastinya diharapkan dapat mengukuhkan lagi persembahan Negeri Sembilan untuk mengharungi baki saingan Liga Premier dan mencerahkan peluang mereka untuk meraih promosi ke saingan Liga Super 2022.

Featured Image: Instagram Arthur Cunha

(Visited 132 times, 1 visits today)
Close