Written by 5:31 pm Asia, Bola Sepak, Malaysia

Kontrak Penjaga Gol Kedah, Ifwat Akmal Bakal Tamat Hujung Tahun Ini

Kontrak penjaga gol Kedah Darul Aman (Kedah), Ifwat Akmal Chek Kassim difahamkan bakal tamat pada penghujung musim ini.

Bagaimanapun, hal kontrak tidak mahu difikirkannya lagi buat masa ini dan Ifwat mahu mencurahkan sepenuh tumpuan untuk memberikan yang terbaik buat skuad Hijau Kuning.

Untuk makluman, musim ini, Ifwat hanya tampil sekali sahaja ketika menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi Piala Sumbangsih.

Malangnya, selepas daripada itu, dia ditimpa kecederaan di bahagian lutut kiri dan memaksanya berehat panjang.

“Kontrak saya dengan Kedah sampai hujung tahun ini sahaja, sebab itu penting untuk saya membuktikan sesuatu kepada pasukan bahawa saya juga mampu.

“Tengok la nanti macam mana, saya kena buat yang terbaik dahulu untuk pasukan ini, selepas itu barulah saya akan fikirkan untuk musim depan bagaimana,” katanya.

Ketiadaan Ifwat memberi peluang kepada pemain senior, Shahril Sa’ari untuk mengisi posisi penjaga gawang Kedah. 

Shahril Sa’ari

Bukan sahaja berperanan sebagai pengganti, Shahril dilihat menampilkan persembahan yang konsisten sebagai penjaga gol utama dan memainkan peranan meletakkan Kedah menduduki tangga ke-3 Liga Super pada ketika ini.

Walaupun dilihat sukar untuk merebut kembali posisi tersebut, Ifwat tampil positif dan sedia untuk bekerja dengan lebih keras bagi meraih kepercayaan ketua jurulatih, Aidil Sharin Sahak untuk menyenaraikannya pada perlawanan liga yang akan datang.

“Persaingan itu saya lihat secara sihat kerana masing-masing pasti akan mendapat peluang dan semuanya mempunyai kelebihan yang tersendiri.

“Sasaran saya adalah supaya peluang saya untuk kembali beraksi lebih cerah selepas liga bersambung kerana sudah lama saya terlepas perlawanan pada musim ini.

“Memandangkan Piala AFC belum bermula, jadi saya kena rebut peluang ini dengan segera supaya nanti perlawanan penting juga saya dapat diberi kepercayaan untuk diturunkan.

“Sekarang pun, saya sudah betul-betul pulih dan tiada masalah sekiranya untuk beraksi, jadi saya percaya peluang saya akan ada sebaik sahaja perlawanan kembali bersambung,” katanya lagi.

Featured Image: Kedah Darul Aman

(Visited 210 times, 1 visits today)
Close