Artikel

Kami Mempunyai Banyak Peluang Tetapi Hanya Jaringkan 2 Gol – Jurulatih Pohang

Biarpun Pohang Steelers mencatatkan kemenangan 2-0 ke atas Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi keempat peringkat Kumpulan G, saingan Liga Juara-Juara AFC (ACL) 2021, ketua jurulatihnya, Kim Gi-dong meluahkan sedikit kekecewaan.

Jurulatih berusia 49 tahun itu sedikit kecewa akan jentera serangannya yang tidak menyudahkan banyak peluang yang terhidang.

Justeru, perkara tersebut berada dalam perhatiannya untuk diperbaiki bagi mengharungi baki dua perlawanan bertemu Ratchaburi dan Nagoya Grampus selepas daripada ini.

Statistik perlawanan antara JDT menentang Pohang Steelers

“Kami mempunyai banyak peluang tetapi (hanya) menjaringkan dua gol dan kami perlu perbaiki perkara ini.” katanya seperti dipetik daripada laman rasmi AFC.

Bagaimanapun, secara keseluruhan beliau memuji persembahan yang diberikan oleh anak-anak buahnya walaupun berhadapan dengan sedikit kelesuan dan keletihan ekoran tidak mendapat rehat yang mencukupi.

Pada masa yang sama, Kim yang merupakan bekas pemain skuad kebangsaan suatu masa dahulu menyatakan JDT yang dimbimbing oleh Benjamin Mora turut memberikan tentangan yang sengit.

Ketua jurulatih JDT, Benjamin Mora

Sementara itu, Mora mengakui Pohang merupakan sebuah pasukan yang bagus dan tersusun serta mempunyai pengalaman beraksi di pentas tertinggi asia ini.

“Mereka beraksi di dalam saingan K-League dan mempunyai sejarah di dalam pertandingan ini selaku juara sebanyak tiga kali,” ujar Mora.

Kemenangan Pohang ke atas JDT memberikan pasukan berpangkalan di Republik Korea itu mengumpul sembilan mata dan menduduki tangga kedua Kumpulan G.

Untuk perlawanan seterusnya, Pohang dijadualkan bertemu wakil Thailand, Ratchaburi pada hari ahad nanti.

Featured Image: AFC Champions League

komen